'Pegawai Imigresen' diberkas peras ugut warga asing

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai Imigresen untuk memeras ugut warga asing terbongkar apabila ditahan polis di Jalan Pudu, di sini, awal pagi, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, kegiatan suspek itu terbongkar semasa sepasukan polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Tun H S Lee membuat rondaan di sekitar kawasan terbabit kira-kira jam 4.45 pagi.

"Semasa melalui kawasan tersebut, anggota peronda melihat empat lelaki dalam keadaan yang mencurigakan.

"Polis kemudian memeriksa empat lelaki terbabit dan mendapati dua orang lelaki tempatan telah menyamar sebagai pegawai Imigresen, manakala dua lagi lelaki merupakan warganegara India," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati dua suspek lelaki tempatan itu telah menahan warganegara India tersebut pada jam 4 pagi.

Katanya, suspek mengarahkan kedua-dua lelaki warga India tersebut untuk menyerahkan pasport dan I-Card.

"Suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu kemudian ditahan dengan rampasan telefon bimbit, baju tertulis logo polis, anak kunci kereta serta sebuah kenderaan," katanya.

Kes disiasat mengikut 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: