Tuntutan zaman baharu wartawan

Dr Maszlee Malik (dua dari kanan) menyampaikan anugerah Tokoh Wartawan Negara kepada Johan Jaaffar (tiga dari kanan) di ibu negara, kelmarin, sambil diiringi A Kadir Jasin, Wan Zulkiflee dan Dr Chamil Wariya.
Dr Maszlee Malik (dua dari kanan) menyampaikan anugerah Tokoh Wartawan Negara kepada Johan Jaaffar (tiga dari kanan) di ibu negara, kelmarin, sambil diiringi A Kadir Jasin, Wan Zulkiflee dan Dr Chamil Wariya.
A
A
A

MUKADIMAH

TAN Sri Johan Jaaffar baru berusia 39 tahun ketika namanya diumumkan menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pada November 1992, menggantikan Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin, dengan latar belakangnya suasana getir politik awal 1990-an di Malaysia.

Jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu menghanyutkan Johan ke suatu puncak baharu setelah beliau mencipta nama besar dalam dunia kewartawanan sebagai editor beberapa majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain aktif membabitkan diri dalam bidang seni pementasan dan teater.

Sepanjang lebih 40 tahun menjadi penulis, sasterawan, editor, wartawan dan tokoh bisnes media dengan menduduki jawatan Pengerusi DBP dan Pengerusi Media Prima - iaitu syarikat gergasi yang pernah mencatatkan perolehan tahunan RM1.4 bilion serta menguasai stesen televisyen TV3, TV9, TV8, NTV7 serta akhbar-akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro - Johan memperlihatkan dirinya adalah antara wartawan hebat yang tidak ada tolok bandingnya.

Johan berada di barisan depan sebagai seorang penulis yang prolifik dan komited serta seorang insan yang memiliki ramai kawan dan sahabat. Pada usianya yang menjangkau 66 tahun, beliau masih aktif menyumbang kolum mingguan untuk akhbar The Star, selain pernah menulis selama 14 tahun untuk akhbar New Straits Times.

Malaysian Press Institute (MPI) pada Jumaat lalu menobatkan Johan sebagai Tokoh Wartawan Negara dalam satu majlis di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Ucapan untuk mencalonkan Johan dibacakan oleh Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin yang merupakan Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Majlis penyampaian anugerah itu yang diadakan sempena Malam Wartawan Malaysia 2018 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan diiringi oleh Presiden Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya.

Johan kini aktif sebagai moderator program interviu Bicara Minda Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Berikut ialah teks penuh ucapan Johan ketika menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara ke-12.

SAYA menganggap penganugerahan ini sebagai satu penghormatan bagi saya.

Rasanya saya sebahagian daripada generasi ‘orang surat khabar lama’ yang semakin berkurangan. Generasi saya tidak lagi aktif memimpin akhbar atau organisasi media. Kami merupakan the last of the Mohicans.

Johan (dua dari kanan) bersama Wong Chun Wai (kanan), Syed Jamil (kiri) dan A. Kadir Jasin (dua dari kiri) bergambar ketika membuat liputan di New York Amerika Syarikat pada tahun 1995.
Johan (dua dari kanan) bersama Wong Chun Wai (kanan), Syed Jamil (kiri) dan A. Kadir Jasin (dua dari kiri) bergambar ketika membuat liputan di New York Amerika Syarikat pada tahun 1995.

Editor dan wartawan yang lebih kurang sezaman dengan saya seperti Datuk CC Liew, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk Kadir Jasin, Tan Sri Rahman Sulaiman, mendiang Datuk VK Chin, Datuk Ng Poh Tip, Datuk Mohd Nazri Abdullah, Datuk Ahmad A Talib, Datuk Rejal Arbee, Datuk Hardev Kaur, Datuk Khalid Mohd, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Wong Chun Wai, sekadar menyebut beberapa nama, bekerja dalam suasana dan era yang sama sekali berbeza dengan sekarang.

Saya sendiri bolehlah dianggap accidental journalist yang terhumban ke dalam dunia kewartawanan tanpa dirancang. Banyak yang mengatakan bahawa saya outsider apabila diberikan amanah memimpin kumpulan akhbar Utusan Melayu pada tahun 1992.

Namun demikian apabila saya mula berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1977, saya berketuakan tokoh sasterawan-wartawan seperti Datuk Usman Awang dan duduk sebilik dengan Datuk Abdullah Hussain.

Usman Awang atau Tongkat Warrant memang terkenal sebagai sasterawan, malah menjadi penerima Anugerah Sastera yang ketiga pada 1983. Namun demikian beliau pernah menjadi wartawan di syarikat Utusan Melayu di Singapura mulai 1952.

Abdullah Hussain pula ialah penerima Anugerah Sasterawan Negara yang kelapan, pernah berkhidmat dengan majalah Gelanggang Filem yang dimiliki oleh Seniman Agung P Ramlee pada zaman gemilang filem Melayu tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.

Tradisi kewartawanan DBP selalu dilupakan oleh pengkaji. Perlu juga diingatkan bahawa wartawan yang pernah berkhidmat di Utusan Melayu dan Majlis, banyak yang menyambung karier mereka di DBP pada zaman awalnya.

Sukar dipisahkan

Di antara mereka ialah Abdul Wahab Muhammad atau Awal Il-Sarkam, Abu Yazid Abidin atau Wijaya Mala dan A Samad Ahmad selain Keris Mas dan Usman Awang. Keris Mas dan Usman Awang juga adalah “dua orang pengasas” Angkatan Sasterawan 50 atau Asas 50 yang kemudiannya menjadi orang kuat DBP.

Tradisi kewartawanan inilah yang dilanjutkan oleh Baharuddin Zainal, Mohd Noor Azam, AF Yassin, Sulaiman Masri, Nik Zainal Abdidin Hassan, Fatini Yaakub dan ramai lagi di DBP.

Malah, daripada 13 orang penerima anugerah Sasterawan Negara setakat ini, tujuh orang daripada DBP. Daripada 13 orang Sasterawan Negara, enam orang pernah terlibat dalam kewartawanan majalah atau akhbar. Bagi saya hubungan di antara dunia kewartawanan dan kesusasteraan di negara ini amat sukar dipisahkan.

Saya lebih beruntung kerana pernah berkhidmat di Utusan Melayu, yang dianggap syarikat yang menjadi suara keramat orang Melayu. Tradisi gemilang ini bermula dengan A Rahim Kajai yang dianggap Bapa Kewartawanan Melayu dan pengasas syarikat itu, Aziz Ishak kemudian menjadi Presiden Republik Singapura yang pertama.

Dalam tradisi panjang itulah muncul nama-nama seperti Said Zahari (salah seorang tahanan ISA paling lama di Singapura iaitu selama 17 tahun), Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Abdullah dan Tan Sri Zainuddin Maidin.

Utusan mempunyai cerita yang tersendiri dalam mencorakkan dunia kewartawanan tanah air. Bagi saya, mogok Utusan Melayu tahun 1961 yang berlangsung selama 90 hari merupakan satu sejarah pahit para wartawan ketika itu. Usaha mereka untuk menolak campur tangan politik dalam menjalankan tugas mereka gagal.

Skrip penguasa Wartawan berdepan dengan banyak cabaran. Wartawan terbunuh membuat liputan di wilayah berkonflik. Wartawan ditahan, dipenjara malah diseksa dalam menjalankan tugas mereka dan wartawan dibuang kerja apabila tidak mengikut skrip penguasa.

Laporan penuh di akhbar Sinar Harian hari ini.