X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja balak maut ditimpa dahan pokok

Anggota bomba dengan dibantu pekerja balak mengusung keluar mayat mangsa dari kawasan pembalakan untuk dihantar ke Hospital Dungun. (Gambar kecil: Suarno)
A
A

DUNGUN - Seorang pekerja balak maut ditimpa dahan pokok yang ditebangnya di kawasan pembalakan di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berasal dari Indonesia tetapi mendapat status penduduk tetap negara ini, Suarno Ibrahim, 54, tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Rakan mangsa, Yazid Abdullah, 45, berkata, dia terkejut menemui mangsa tertiarap di atas tanah dalam keadaan berlumuran darah di kepala.

Katanya, dia pergi mencari mangsa selepas rakannya itu tidak pulang ke rumah kongsi mereka setelah keluar menebang pokok bersendirian.

"Dia keluar lebih kurang jam 10 pagi masa saya dan seorang lagi rakan tengah baiki jentolak di kawasan rumah kongsi.

"Tapi dekat jam 12 tengah hari dia masih tak balik jadi saya cari dan jumpa dia tapi dia sudah tidak bernyawa jadi saya pergi dapatkan bantuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba Azmi Ab Rahim berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dengan kekuatan sebuah jentera segera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.27 petang.

Bagaimanapun, katanya, perjalanan ke lokasi kejadian menggunakan kenderaan pekerja balak sejauh 6.5 kilometer melalui jalan balak.

"Kita mengangkat dan mengeluarkan mangsa dengan mengusung menggunakan alat pengusung dibantu pekerja-pekerja balak yang lain.

"Ambil masa sedikit untuk keluarkan mangsa memandangkan kita terpaksa meredah jalan balak," katanya.

Katanya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian pada jam 6 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!