Salur maklumat berkaitan rasuah

Nazli (tengah) bersama pelajar Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang, Johor yang menjuarai pertandingan kawad kaki kadet JPJ peringkat kebangsaan, semalam.
Nazli (tengah) bersama pelajar Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang, Johor yang menjuarai pertandingan kawad kaki kadet JPJ peringkat kebangsaan, semalam.
A
A
A

SUBANG JAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memberi kerjasama penuh dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyalur maklumat serta aduan bagi mengatasi masalah integriti dalam jabatan.

Pengarahnya, Nazli Md Taib berkata, di JPJ Selangor khususnya terdapat peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh pegawai dan anggota sebelum dilepaskan untuk menjalankan tugas.

“Mereka perlu isytihar wang saku di mana jumlah itu akan disahkan oleh ketua operasi. Kalau duit itu agak banyak misalnya, kita akan disiasat mengapa terdapat jumlah sebegitu dan apa tujuannya serta sebagainya.

“Ini yang telah kita praktiskan setiap hari dan bukan benda baru tetapi telah lama dilakukan, bukan saja di Selangor, malah seluruh negerI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kawad Kaki Kadet JPJ Peringkat Kebangsaan Tahun 2019, di Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan 24 pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang, baru-baru ini oleh SPRM kerana didakwa menerima bayaran bulanan sebanyak kira RM10,000 sebulan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Tambahnya, dari segi penggunaan teknologi pula, sebahagian besar kenderaan juga dilengkapi dengan sistem pengesanan global (GPS) bagi mengesan kedudukan dengan tepat sepanjang operasi atau tugasan.

“JPJ Selangor juga sentiasa bekerjasama dengan semua agensi termasuklah Suruhanjaya Integriti dan Biro Pengaduan Awam. Malah, Unit Integriti kita juga melaksanakan ceramah kepada pegawai serta anggota bagi menangani isu rasuah serta integriti,” katanya.

Terdahulu, pertandingan kawad peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan melibatkan 10 buah sekolah dimenangi Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya bagi kategori lelaki, manakala ketegori perempuan dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang, Johor.

Artikel Berkaitan: