Keselamatan agenda utama negara

A
A
A

INSIDEN tembakan melulu di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa umat Islam pada 15 Mac lalu, masih segar dalam ingatan.

Kini kita dikejutkan pula dengan serangan pengganas di Sri Lanka ke atas tiga hotel dan sebuah gereja, mendedahkan ancaman keselamatan baharu yang didakwa tindakan berani mati oleh kumpulan Daesh. Lebih 300 terbunuh dan 450 cedera, malah AFP menjangkakan angka korban akan terus meningkat.

Sehubungan itu, Malaysia perlu mengambil iktibar dan merangka strategi agar keselamatan terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negara. Keselamatan negara merujuk kepada suatu situasi bebas daripada sebarang ancaman terhadap nilai-nilai teras negara, sama ada ia ancaman dari dalam atau luar.

Sebenarnya ancaman keselamatan negara berlaku sejak tahun 1957 seperti ancaman Parti Komunis Malaya, sehinggalah pencerobohan pengganas Tentera Kesultanan Sulu di Sabah pada tahun 2013.

Begitu juga usaha-usaha untuk menjatuhkan kerajaan di luar daripada proses demokrasi, ancaman militan dan pengganas serta ancaman global yang pelbagai bentuk memerlukan penggubalan suatu Dasar Keselamatan Negara yang komprehensif.

Bagi langkah pencegahan dan usaha mempertahankan negara daripada diceroboh, beberapa strategi utama akan dapat memastikan nilai-nilai teras negara dipertahankan. Seterusnya menjadikan Malaysia bebas daripada segala bentuk ancaman, bukan sahaja yang bersifat fizikal, malah bukan fizikal yang mempengaruhi dan merosakkan pemikiran rakyat.

Landskap keselamatan kini semakin kompleks melibatkan ancaman-ancaman daripada pelaku negara (state actor) dan pelaku bukan negara (non-state actor) yang berpotensi memberikan impak besar ke atas keselamatan serta kedaulatan negara.

Ancaman terkini seperti ISIS dan Daesh telah menjadi ancaman global dan diletakkan sebagai “amaran” yang mengugatkan ketenteraman dan keamanan dunia.

Artikel Berkaitan:

Pengalaman lalu yang pernah dihadapi negara dari segi keselamatan termasuklah kolonialisme kuasa asing, keganasan komunis, Konfrontasi Indonesia, pemisahan wilayah, konflik perkauman 13 Mei 1969, ekstremisme.

Tindakan ekstremisme ini melibatkan persoalan kaum, ideologi, agama dan politik yang masih lagi dikategorikan sebagai ancaman dalam bentuk “bom jangka”.

Selain itu krisis ekonomi, bencana alam dan pencerobohan wilayah juga menjadi ancaman tidak diduga yang mampu mengugat kententeraman awam.

Maka, usaha memastikan keselamatan negara dan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu mengambil kira aspek ancaman dalam negara dan suasana geopolitik di peringkat serantau dan antarabangsa.

Salah satu ancaman yang perlu diberikan tumpuan adalah isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum, etnik, agama, kepercayaan dan kebudayaan yang tersebar dengan meluas tanpa sekatan di media sosial.

Isu dan polemik ini masih lagi menjadi punca pergeseran antara kaum di Malaysia yang menjejaskan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan progresif.

Keamanan, kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi yang pesat di Malaysia turut menjadi faktor penarik kepada kemasukan pendatang asing dan ‘pelarian’. Kehadiran mereka selain memberi implikasi sosial, ekonomi, jenayah, politik dan hubungan diplomasi, ia juga berupaya mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.

Penggunaan media sosial yang mengandungi unsur-unsur “pemujukan” menyebabkan beberapa rakyat Malaysia yang terpengaruh dan melibatkan diri dalam kegiatan bersifat militan dan teroris.

Maka, kestabilan sosiopolitik adalah penting dalam mewujudkan suasana aman dan harmoni dalam kalangan rakyat. Kerajaan bertanggungjawab untuk menjunjung demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, keluhuran Perlembagaan, menghormati dan menjamin hak-hak asasi rakyat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Lantaran itu, kerjasama rakyat amat diperlukan dalam memberikan sokongan, berganding bahu dan bekerjasama bagi menjamin kelangsungan atau survival Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, selamat dan berdaulat.

* Prof. Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara