Perkembangan positif bidang ekonomi

A
A
A

BEBERAPA perkembangan penting berlaku minggu ini dalam arena ekonomi dan perdagangan yang menjanjikan kesan positif jangka pendek dan panjang.

Pertama, lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China bagi menyertai forum "Belt and Road" di Beijing.

"Belt and Road" atau dikenali juga dengan jolokan OBOR adalah rancangan ekonomi raksasa China yang melibatkan pembangunan jalan raya, landasan kereta api dan laluan laut yang menghubungkan China dengan rakan-rakan perdagangannya di seluruh dunia.

Dalam konteks inilah China melihat pentingnya pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang baru sahaja digerakkan semula berikutan kesediaan China mengurangkan kos pembinaan sebanyak 32 peratus atau bersamaan RM22 bilion.

Bersempena lawatan Dr Mahathir ke Beijing itu, beberapa perjanjian dan persefahaman dimeterai. Antara yang penting ialah penandatanganan perjanjian mengimport lebih banyak minyak kelapa sawit oleh China.

Di bawah perjanjian itu, China akan membeli 1.9 bilion tan tambahan bernilai RM4.56 bilion dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Kesediaan China membeli lebih banyak minyak kelapa sawit berlaku pada saat-saat dunia mengalami kelebihan minyak bijirin yang menjadi punca kejatuhan harganya.

Untuk satu jangka masa yang agak panjang dunia mengeluarkan lebih banyak minyak bijirin seperti kelapa sawit, kacang soya, jagung, bunga matahari dan kelapa, daripada yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

Apa-apa pun, perjanjian jual-beli minyak kelapa sawit yang ditandatangani di Beijing dan disaksikan oleh Perdana Menteri adalah berfaedah bagi jangka masa panjang minyak kelapa sawit.

Sementara itu, kita janganlah terlalu yakin dengan penambahan pembelian oleh China. Sebaliknya kita perlu memikirkan secara bersungguh-sungguh strategi masa depan kita mengenai penanaman kelapa sawit sama ada di negara kita sendiri atau di luar negara.

Sebagai tambahan kepada perjanjian ECRL, Malaysia dan China juga pada dasarnya bersetuju untuk membuka kawasan-kawasan perindustrian secara usaha sama di hentian-hentian strategik ECRL.

Kedua, Malaysia juga mengambil keputusan menghidupkan semula projek Bandar Malaysia di atas tapak Lapangan Terbang Tentera Udara Sungai Besi dengan pemaju asal, tetapi berlandaskan syarat-syarat yang lebih baik.

Konsortium usaha sama Malaysia-China, iaitu Iskandar Waterfront Holdings Berhad (IWH) dan China Railway Engineering Limited (CREC) yang dibatalkan kontraknya oleh Kerajaan Barisan Nasional, telah diberikan semula projek itu.

Antara syarat baharu adalah projek yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan sebanyak RM200 bilion itu akan menyediakan 10,000 buah rumah mampu milik, sebuah taman rakyat, penyertaan Bumiputera dan keutamaan kepada penggunaan bahan tempatan.

Pemilikan tempatan dinaikkan berbanding hanya 24 peratus mengikut perjanjian asal.

Perkembangan penting yang ketiga adalah prestasi Tabung Haji semakin pulih setelah melakukan rombakan mutakhir yang melibatkan lembaga pengarah dan pengurusan kanan tidak sampai setahun lalu.

Bagi suku pertama tahun ini, Tabung Haji mencatat pendapatan sebelum audit sebanyak RM623 juta dan keuntungan bersih sebelum audit sebanyak RM440 juta. Dalam tempoh yang sama, harta perbadanan itu telah melebihi tanggungan sebanyak RM1.2 bilion.

Tabung Haji menjangkakan prestasi lebih baik untuk suku kedua hasil penjualan sukuk bernilai RM19.6 bilion oleh Urus Harta Jemaah Sdn Bhd. Bon syariah ini dijangka menghasilkan pendapatan tambahan bagi Tabung Haji berasaskan pulangan empat peratus setahun.

Pembersihan buku kira-kira dan pembayaran hibah yang rendah tidak menyebabkan tabungan ke dalam agensi itu terjejas teruk.

Bagi tempoh itu, deposit meningkat sebanyak RM4.3 bilion dan pengeluaran sebanyak RM4.6 bilion atau pengeluaran bersih sebanyak RM300 juta. Yang memberangsangkan adalah dalam tempoh suku pertama tahun ini, sebanyak 91,000 akaun baharu telah dibuka menjadikan bilangan penyimpan Tabung Haji seramai 9.3 juta.

Banyak lagi perkembangan positif yang berlaku sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pada 9 Mei tahun lalu. Cuma, seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak semuanya dihebahkan secara meluas kepada rakyat jelata.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara