Lelaki maut terhidu gas toksik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi kritikal selepas terhidu gas toksik daripada tong simpanan ikan lama di Jalan Lubuk Poring, Sepanggar, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari, mangsa Hasril La Ridi, 42, disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala Eni, 31, berada dalam keadaan kritikal selepas kedua-dua mereka yang berasal dari Indonesia itu dilaporkan pengsan setelah terhidu gas semasa membuka tong simpanan ikan berkenaan.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, mangsa meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan seorang lagi dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Hospital Likas pada jam 12.03 tengah hari sebelum pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Balai Bomba Penyelamat Kota Kinabalu bergegas ke tempat kejadian bersama tiga jentera.

“Pasukan HAZMAT telah menjalankan operasi mengenal pasti jenis gas beracun itu dan hasil daripada ujian dijalankan tidak terdapat sebarang tanda gas ammonia dilaporkan dan setakat ini jenis gas belum dapat dikenalpasti,” menurut kenyataan itu.

Operasi tamat pada jam 2.30 petang.- Bernama

Artikel Berkaitan: