Pembubaran 3 pasukan khas tidak jejaskan tugas PDRM

Abdul Hamid Bador- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pembubaran tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan satu perkara pelik dan tidak akan menjejaskan tugas pasukan keselamatan itu, kata Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, PDRM sentiasa bersedia dalam menjalankan tugas dan ia selari dengan moto keramat pasukan iaitu Sedia Berkhidmat.

"Tiada apa yang pelik dengan pembubaran ini sebagaimana juga dengan penubuhannya dulu.

"Walaupun pasukan-pasukan petugas itu sudah dibubarkan, namun Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) tetap utuh dan sentiasa bersedia menggalas tugas mengikut jabatan masing-masing dengan semangat waja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Tiga pasukan khas itu ialah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Tiga pasukan khas itu dibubarkan untuk penstrukturan semula beberapa jabatan dalam pasukan keselamatan berkenaan.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 30 saat yang memaparkan rakaman majlis perpisahan pasukan STAFOC tular di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya berkata, jasa ketiga-tiga pasukan berkenaan akan dikenang oleh masyarakat.

“Jasa-jasa saudara-saudara @PDRMsia di STING, STAGG dan STAFOC akan tetap dikenang oleh masyarakat, khususnya mangsa-mangsa jenayah terancang. Tugas murni ini mesti diteruskan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia