X

Kindly register in order to view this article
!

TH catat RM1 bilion untuk deposit baharu

Mujahid semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Program Menteri Bersama Rakyat di Pondok Raudhatul Ulum, Kampung Serendah, di Chetok, hari ini.
A
A

RANTAU PANJANG - Kepercayaan rakyat terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) tidak terhakis apabila agensi itu mencatat kemasukan deposit baharu berjumlah hampir RM1 bilion selepas proses pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu dilakukan oleh kerajaan PH.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pertambahan jumlah itu memberi isyarat rakyat masih mempercayai kredibiliti agensi berkenaan dalam menjalankan amanah untuk urusan Rukun Islam kelima.

"Walaupun berdepan dengan pelbagai tomahan, namun ia sama sekali tidak menggugat kepercayaan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menteri Bersama Rakyat di Pondok Raudhatul Ulum, Kampung Serendah, di Chetok di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut Mujahid turut menyampaikan sedikit sumbangan bagi menyiapkan pondok berkenaan.

Turut hadir Pengerusi PH Rantau Panjang, Dr Wan Shah Jihan Wan Din.

Menurutnya, jumlah pendeposit baharu itu mengimbangi deposit keluar.

Katanya, secara purata isu kewangan TH berjaya dikawal dengan baik.

"Malah maklumat terkini daripada pengurusan TH menyatakan bahawa institusi itu kini berada pada landasan yang tepat," katanya.

Mujahid berkata, pendedahan yang dibuat oleh kerajaan PH sebelum ini menambahkan lagi kepercayaan rakyat terhadap TH.