LHDN ulas dakwaan Diana Danielle

Hantaran dimuat naik Diana Danielle di Instagram miliknya.
Hantaran dimuat naik Diana Danielle di Instagram miliknya.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan tindakan cukai pendapatan dikenakan kepada setiap individu mengikut prosedur dan rekod dimiliki.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Abdul Manap Dim berkata, untuk makluman, pembayar cukai memiliki ruang membantah dan mendapat penjelasan sekiranya tidak berpuas hati dengan cukai dikenakan.

Menurutnya, LHDN mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan dan melakukan taksiran berdasarkan maklumat yang ada pada lembaga tersebut tanpa mengira identiti pembayar cukai.

"Jadi, saya seru tak kira sama artis atau sesiapa pun diminta datang ke pejabat LHDN untuk melakukan taksiran diperlukan, yang mana kami akan beri perhatian.

"Kita mengikut prosedur untuk semua pembayar cukai," katanya pada sidang media selepas Program Tanggungjawab Sosial di Dewan Orang Ramai Kampung Tradisi Lembah Keriang, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau sedemikian ketika diminta mengulas dakwaan pelakon, Datin Diana Danielle yang tidak berpuas hati selepas namanya disenarai hitam daripada keluar negara berikutan memiliki tunggakan cukai pendapatan dengan LHDN dianggarkan sebanyak RM350,000.

Menurut beliau, mana-mana pembayar cukai tidak berpuas hati memiliki ruang bagi membantah dan membawa perkara terbabit ke mahkamah.

Katanya, LHDN tidak mengambil tindakan mengenakan cukai terhadap segelintir pihak sahaja, sebaliknya cukai dikenakan kepada semua tanpa mengira siapa mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita ingin tegaskan bahawa cukai dikenakan bukan kepada sebilangan pihak semata-mata, sebaliknya semua orang tidak kira samada artis, menteri ataupun kakitangan LHDN sekalipun turut dikenakan cukai pendapatan," katanya.

Semalam, Diana Danielle meluahkan ketidakpuasan hati apabila namanya disenarai hitam LHDN melalui hantaran di akaun Instagram miliknya.

Melalui Instagram, Diana memaklumkan dia tidak berpuas hati apabila dikenakan sekatan ke luar negara kerana didakwa memiliki tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM350,000.

Bagaimanapun, katanya, LHDN bukan hanya belum mengemukakan sebarang dokumen, malah tidak memiliki hak meminta dirinya membayar cukai berikutan agensi itu belum membayar 'hutang' RM100,000 dituntutnya sejak tahun lepas.