Tourism Pahang kenal pasti lokasi tinggal

Ishak pada sidang medianya sempena Sambutan 100 Tahun Bukit Fraser.
Ishak pada sidang medianya sempena Sambutan 100 Tahun Bukit Fraser.
A
A
A

KUANTAN - Tourism Pahang akan mengenal pasti lokasi tinggal seperti tanah lapang, rumah dan bangunan lama untuk diguna semula dengan membina tarikan baharu seperti Strawberry Farm di Bukit Fraser, di sini.

Pengurus Besarnya, Datuk Ishak Mokhtar berkata, bagaimanapun, proses itu tidak akan melibatkan penebangan pokok baharu, sebaliknya memanfaat lokasi sedia ada.

Menurutnya, ini bagi mengekalkan sistem semulajadinya yang asli dan terpelihara memandangkan Bukit Fraser mempunyai kelompok pasarannya yang tersendiri.

"Tourism Pahang juga tidak merancang untuk merancakkan pembangunan Bukit Fraser sehingga menjadi seperti pusat peranginan dan tanah tinggi yang lain, seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands di negeri ini.

"Statistik kedatangan pelancong ke Bukit Fraser bagi tahun 2014 hingga 2018 mencatatkan jumlah keseluruhan 609,505.

"Mereka terdiri kalangan para pencinta flora dan fauna memandangkan selama lebih 30 tahun Bukit Fraser membuat sambutan Fraser's Hill International Bird Race pada 22-23 Jun 2019.

"Namun kita akan mengenal pasti lokasi tinggal seperti tanah lapang dan bangunan lama untuk dibangunkan sebagai tarikan baru di sini. Antaranya membuka Strawberry Farm. Tapi tidaklah seluas di Cameron Highlands kerana kita tidak akan menebang pokok-pokok baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Perayaan 100 Tahun Bukit Fraser 2019, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ishak berkata, program yang diadakan julung kali ini bertujuan menggalakkan usaha mempromosikan Bukit Fraser sebagai salah satu destinasi pelancongan yang telah mencapai usia 100 tahun.

Menurutnya pelbagai acara diadakan sepanjang tahun perayaan ini antaranya Fraser's Hill International Bird Race, pada 22 hingga 23 Jun yang melibatkan penyertaan banyak negara asing; Music Of The Hill pada 12 hingga 13 April dan The Olders Golf Course Challenges pada 28 April 2019.