Bersatu Johor cari strategi pulih sokongan rakyat

Mohd Solihan pada sidang media di Pejabat Bersatu Johor, hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Bersatu Johor mula merangka strategi bagi memulihkan kembali sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Media Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, kesemua ketua bahagian parti telah bersedia bekerja keras ke arah itu.

"Ini adalah taklimat pertama oleh Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal kepada ketua bahagian. Dalam perjumpaan tadi kami juga telah memikirkan strategi dan tindakan yang kita akan buat untuk perkukuhkan parti di Johor.

"Saya rasa selepas ini semua ketua-ketua bahagian telah bersatu hati untuk bekerja dengan kuat dan kita telah mempunyai beberapa rancangan untuk membantu memperkukuhkan urus tadbir bahagian masing-masing dari segi moral, pengurusan dan kewangan," katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya soal kajian Merdeka Center yang menunjukkan sokongan rakyat terhadap PH merudum kepada 39 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor berkata, dalam soal pembangunan negeri ini, pandangan parti akan diambil kira.

"Hubungan parti dengan kerajaan negeri akan dipertingkatkan lagi. Pandangan daripada parti akan diambil kira dalam pembangunan Johor.

"Ini untuk memastikan suara akar umbi didengar oleh pucuk pimpinan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia