Setahun tak cukup 'ubati' kerosakan negara selama 60 tahun: Raja Kamarul

Raja Kamarul Bahrin merasmikan Majlis Penutup Program Asnaf To Asnaf Tuisyen Rakyat di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT di sini hari ini.
Raja Kamarul Bahrin merasmikan Majlis Penutup Program Asnaf To Asnaf Tuisyen Rakyat di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT di sini hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Kajian Merdeka Center menunjukkan kadar sokongan terhadap Kerajaan PH bukanlah perkara yang mengejutkan berbanding kerosakan yang telah berlaku kepada negara selama 60 tahun.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ini kerana, kerajaan PH baharu 12 bulan mengambil alih pentadbiran negara daripada BN.

Sehubungan itu, beliau tidak hairan sekiranya data daripada kajian dilakukan pusat kajian itu menunjukkan penurunan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan PH.

“Bagi mencapai solusi jangka masa panjang ia perlu masa. Tempoh setahun tidak dapat untuk mengubati penyakit yang telah ditanggung selama 60 tahun,” katanya kepada media, hari ini.

Sebelum itu, Raja Kamarul Bahrin merasmikan Majlis Penutup Program Asnaf To Asnaf Tuisyen Rakyat Al Amin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pusat Islam Sultan Mahmud di UMT di sini.

Beliau juga mengambil contoh masalah dihadapi Tabung Haji antaranya sehingga defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017 juga memerlukan masa yang panjang untuk dipulihkan semula oleh PH.

Merdeka Center dalam dapatan kajiannya mendapati kadar sokongan terhadap kerajaan PH merosot sebanyak 39 peratus berbanding 79 peratus pada 31 Mei 2018 berdasarkan kajian yang dijalankan di seluruh negara pada 5 hingga 11 Mac lalu.

Menurut kajian itu lagi, jumlah pengundi yang berpuas hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga didapati menurun daripada 71 peratus pada Ogos 2018, jatuh kepada 46 peratus.

Artikel Berkaitan:

Kajian itu melibatkan 1,204 pengundi berdaftar meliputi 52 peratus kaum Melayu, Cina (29 peratus), India (7 peratus), muslim Bumiputera (6 peratus) dan bukan muslim Bumiputera daripada Sabah dan Sarawak (6 peratus).

ARTIKEL BERKAITAN: Sokongan terhadap PM, kerajaan PH merosot