Retakan masih aktif, alat pengesan dipasang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu alat khas bagi mengesan pergerakan tanah dipasang di sekitar Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai di sini yang dilaporkan mengalami keretakan semalam, memandangkan keretakan itu dilihat masih aktif hari ini.

Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, pihak Jabatan Kerja Raya memasang alat pengesan berkenaan hari ini bagi pemeriksaan lanjut, yang dijangka berlarutan sehingga Isnin, dan kemudian barulah keputusan sama ada bangunan empat tingkat itu selamat untuk diduduki akan diketahui.

“Kami perlukan maklumat dahulu sebelum buat keputusan bangunan itu boleh diduduki, diperbaiki atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara bagi penduduk terjejas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat hari ini.

Beliau berkata berkata sembilan keluarga membabitkan 38 individu berada di pusat pemindahan itu setakat pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Kita telah mengarahkan pengosongan bangunan berkenaan malam tadi dan ada penghuni memilih untuk tinggal bersama saudara di kawasan lain. Kami jangka akan lebih ramai penghuni bangunan berkenaan mendaftar untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyediakan kemudahan asas seperti toto, bantal serta makanan untuk mangsa yang berada di pusat pemindahan.

“Pihak kami juga akan membuat aktiviti tertentu untuk kanak-kanak serta pemeriksaan kesihatan untuk warga emas,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya Superintendan Mohd Zaid Hassan berkata pos kawalan dibuka selama 24 jam dengan lima hingga lapan anggota ditempatkan untuk kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Penduduk yang ingin mengambil barang perlu melapor diri terlebih dahulu, kita tidak mahu kejadian jenayah berlaku,” katanya.

Lebih 200 penghuni pangsapuri berkenaan dikehendaki berpindah susulan keretakan aktif di bangunan itu dilaporkan berlaku semalam.

SMK Taman Keramat dijadikan pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan bagi penduduk terlibat namun tinjauan Bernama mendapati ada yang memilih untuk tinggal bersama saudara mara atau menginap di hotel.- Bernama