Ramai kanak-kanak 12 tahun didera

Arfan Sulaiman
Arfan Sulaiman
A
A
A

Jenayah seksual dan fizikal melibatkan kanak-kanak perlu dilihat sebagai satu perkara penting kerana ia memberi kesan kepada masa depan mereka.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyatakan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah merupakan kumpulan tertinggi didera.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Arfan Sulaiman berkata, jenayah seksual ke atas kanak-kanak perempuan mencatatkan jumlah tertinggi.

"Kumpulan sasar paling tinggi adalah kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah. Jenis penderaan ini adalah penderaan fizikal dan seksual.

Kalau lihat kepada jantina, mangsa jenayah seksual tertinggi adalah melibatkan kanak-kanak perempuan. Untuk jenayah fizikal pula kanak-kanak lelaki. Tetapi jumlah tertinggi keseluruhan bagi jenayah kanak-kanak ini adalah perempuan. Ini berdasarkan kepada statistik kes yang dikendalikan oleh JKM, " katanya dalam Wacana Sinar Harian ke - 79 Kanak-Kanak Dalam Jerangkap Sosial: Di Mana Kita?, semalam

Wacana kali ini turut menampilkan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamad Fadzil Che Din; Profesor Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan dikendalikan personaliti, Amin Idris selaku moderator.

Arfan berkata, berdasarkan kepada statistik ini juga, jenayah berdasarkan kepada lokaliti ini banyak berlaku di kawasan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Tapi jangan kita lupa, ada juga kes yang dikendalikan berlaku di kawasan pendudukan berpendapatan tinggi. Keganasannya lebih serius walaupun perlakuannya sedikit.

Tetapi secara majoritinya, perlakuan ini banyak berlaku di kawasan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, di mana ibu bapa bekerja. Anak terpaksa dihantar kepada pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan kepada kes yang dikendalikan juga, jumlah tertinggi mereka yang mendera kanak-kanak ini adalah ibu. Hasil daripada penelitian kita mengapa ibu ini mendera anaknya sebab mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran dan tekanan kerja. Bila pulang ke rumah, orang paling dekat untuk lepaskan tekanan itu adalah anak. Itu antara alasan yang diberikan pelaku.

Sebenarnya jerangkap itu adalah di rumah sendiri. Bagaimana kita nak menyelesaikan masalah ini, kita perlu ada program advokasi yang lebih kerap. Selain itu, pendedahan perlu diberikan kepada pasangan-pasangan suami isteri yang baru berkahwin dengan kemahiran pengurusan rumah tangga yang lebih efektif.

Kanak-kanak yang tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak, mereka tak akan dijatuhkan hukuman. Sebaliknya, hanya akan diperintahkan untuk menjalani proses pemulihan dan tidak ada elemen pemenjaraan. Maknanya dalam rekod, mereka hanya diperintahkan menjalani proses pemulihan.

Mengapa kita begitu teliti dengan perkataan sebegini, kerana menyedari kanak-kanak ini banyak masa lagi untuk melalui kehidupan. Kalau mereka dilabel dengan perkataan-perkataan negatif, ini mungkin menjejaskan perkembangan masa depannya.

Di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, kenapa kita buat sekatan-sekatan kepada media untuk menyiarkan apa-apa berita melibatkan kumpulan ini. Kita pernah berdepan dengan kanak-kanak yang jadi mangsa rogol oleh bapa yang kemudiannya mukanya disiarkan di media.

Selepas sebulan, kanak-kanak ini kembali ke sekolah, dia diejek oleh rakan-rakannya. Pelajar berkenaan tidak lagi mahu kembali ke sekolah. Dia menjadi mangsa kedua kepada kejadian itu. Sebab itu kita masukkan Seksyen 15 untuk beri kebajikan kepada kanak-kanak ini supaya identiti kanak-kanak ini tidak dinyatakan bagi beri keselesaan untuk kanak-kanak meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

Peruntuk masa bersama anak-anak

Peranan kerajaan adalah meletakkan elemen penting bagi memastikan anak-anak ini berkembang dengan sempurna. Sebab itu dalam akta yang digubal, kita lihat elemen-elemen ini. Kadang- kadang masyarakat mempersoalkan mengapa kecil sangat perkataan hukuman, perkataan perintah. Perkara ini yang kita lihat besar untuk kita pastikan kanak-kanak berkembang dan meneruskan kehidupan selepas proses pemulihan dengan lebih positif.

Bagi memastikan program buat anak-anak ini seperti mereka yang berpeleseran dengan basikal lajak, kita sedari perkara ini. Sebab itu kerajaan lakukan perancangan bagi memastikan anak-anak mempunyai aktiviti bermanfaat. Kadang-kadang anak-anak ini tidak ada tempat. Kita buat tinjauan selepas kejadian di Johor, kebanyakan kanak-kanak ini keluar pada waktu malam dan menunggang basikal lajak kata ibu bapa mereka bekerja waktu malam.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal itu, melaksanakan program-program di pusat aktiviti. Pusat tersebut adalah platform kepada anak-anak berkumpul dan lakukan program yang beri manfaat daripada pergi ke tepi jalan berpeleseran.

Kanak-kanak ini yang menggerakkan aktiviti dan pengisian mereka sendiri. Kita wujudkan majlis perwakilan kanak-kanak kemukakan idea dan salurkan kepada kerajaan selaras dengan elemen penyertaan seperti dinyatakan dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diratifikasi Malaysia.

Kita beri ruang kepada anak-anak ini untuk luahkan pandangan dan beberapa cadangan serta idea telah dimasukkan dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001. Ada banyak pandangan kanak-kanak yang dimasukkan dalam akta itu.

Ada satu cadangan daripada kanak-kanak ini tidak dimasukkan dalam pindaan ini iaitu menghukum ibu bapa yang tidak memperuntukkan masa dengan anak-anak. Ini menunjukkan anak-anak memerlukan masa untuk bersama ibu bapa. Kalau peruntukan masa diuruskan dengan baik, saya rasa tidak ada isu basikal lajak atau kanak-kanak berpeleseran di waktu malam," katanya.