Bersatu Johor sokong penuh lantikan menteri besar

Md Nasir mengumumkan sokongan Bersatu Johor kepada Dr Sahruddin sebagai menteri besar di negeri ini, hari ini.
Md Nasir mengumumkan sokongan Bersatu Johor kepada Dr Sahruddin sebagai menteri besar di negeri ini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bersatu Johor menyatakan sokongan penuh ke atas pelantikan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Keputusan itu diumumkan selepas Bersatu Johor dilaporkan mempunyai kem yang berbeza hingga menimbulkan polemik dalam kalangan ahli dan pemimpinnya.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Ir Md Nasir Hashim berkata, keputusan itu dicapai dalam pertemuan bersama kesemua Ketua Bahagian Bersatu, Armada dan Srikandi, hari ini.

"Semua ketua bahagian di negeri Johor ambil keputusan sebulat suara menyokong pelantikan Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar Johor.

"Kami juga akan memberikan kerjasama kepada beliau bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri Johor," katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Johor, hari ini.

Sebelum ini, Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang akui namanya digugurkan daripada senarai barisan Exco Johor baharu kerana beliau bukan daripada kem Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun Ketua Bahagian Bersatu Tebrau itu dilihat hadir dalam sidang media tersebut bersama 25 Ketua Bahagian lain tanda sokongan kepada Dr Sahruddin.

Meskipun agak lewat menyatakan sokongan namun Bersatu Johor memaklumkan kelewatan itu berpunca daripada tumpuan parti sebelum ini kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Media Bersatu, Mohd Solihan Badri berkata, Dr Sahruddin yang tidak menyertai sidang media itu telah menjelaskan kepada semua ketua bahagian berhubung isu pelantikan Exco yang baharu.

"Mesyuarat ini dipengerusikan menteri besar tapi untuk umum sokongan ini beliau tidak bersama kita. Tidak ada 'team'. Kita pasukan Bersatu sebab itu pertemuan ini diadakan untuk menjelaskan isu-isu termasuk pelantikan Exco.

"Kita telah mendapat satu persefahaman kukuh daripada semua bahagian dan saya rasa selepas ini tidak ada isu-isu (timbul) saya harap ahli di bawah peringkat cawangan percaya dan yakin, memberi sokongan kepada kita untuk meneruskan perjuangan PPBM Johor," katanya.