Masa untuk lupa perselisihan lampau

Wan Rosdy bersama kepimpinan UMNO dan PAS bersama deklarasi Himpunan Perpaduan Ummah Pahang yang ditandatangani, semalam.
Wan Rosdy bersama kepimpinan UMNO dan PAS bersama deklarasi Himpunan Perpaduan Ummah Pahang yang ditandatangani, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Himpunan Perpaduan Ummah Pahang yang berlangsung malam tadi melakar satu sejarah baru bukan sahaja dalam gelanggang politik negara malah ia merapatkan lagi silaturrahim antara umat Islam dan orang-orang Melayu khususnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sudah tiba masanya orang Melayu dari UMNO dan PAS ketepikan segala perselisihan lampau.

Menurutnya, kini masa untuk semua perkukuhkan hubungan, eratkan perpaduan, jalin persefahaman dan gembleng kekuatan atas niat yang sama, berjuang demi agama dan bangsa, selari dengan perintah ALLAH SWT.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berkat limpah kurnia dan IzinNYA, kita dapat bersama-sama berhimpun dan merapatkan saf pada program Himpunan Perpaduan Ummah, Peringkat Negeri Pahang semalam.

"Sebagai tuan rumah, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan UMNO dan PAS bersama ahli-ahlinya, NGO, anak muda, pelajar universiti, serta rakyat Pahang keseluruhannya yang hadir memberikan sokongan dalam menjayakan program ini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO negeri berkata, penyatuan antara dua parti Melayu terbesar ini telah dijalin pada dasarnya untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu dan umat Islam yang ketika ini seolah terumbang-ambing di bawah kerajaan PH.

Katanya, melihat kepada perkembangan polemik politik semasa yang membimbangkan, kerjasama ini perlu dilakukan bagi menjamin kedudukan orang Melayu dan juga agama Islam dengan merapatkan kembali saf-saf yang sebelum ini telah terpisah.

"Namun begitu, perpaduan ummah ini tidak sesekali berhasrat untuk menggugat kedudukan kaum-kaum lain. Agama Islam mengajar ummatnya untuk bersikap saling hormat-menghormati dan kasih-mengasihi sesama manusia. Oleh itu, keharmonian dan kemakmuran yang kita sedang nikmati ini haruslah terus dijaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, umat Islam adalah bersaudara, diibaratkan cubit peha kiri, paha kanan juga terasa.

"Oleh itu kita perlu bersatu padu supaya umat Islam di negara ini kuat dah utuh.

"Seperti mana pepatah Melayu, bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakatnya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," katanya.