'PH ibarat budak baru belajar berjalan'

Dr Noor Azmi Ghazali
Dr Noor Azmi Ghazali
A
A
A

BAGAN SERAI - Rakyat negara ini terutama golongan netizen diminta memberikan masa secukupnya kepada kerajaan PH untuk menunaikan janji pembaharuan dan manifesto pilihan raya dilaungkan pakatan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU14) sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan PH ketika ini boleh diibaratkan seperti 'budak yang baru hendak belajar berjalan' kerana usia pentadbiran kerajaan baru mencecah setahun.

Menurutnya, sebagai sebahagian rakyat yang membuat keputusan besar memberi kemenangan kepada PH pada PRU14, mereka harus mengikis sikap negatif dengan berterusan mencemuh dan menghentam polisi baharu diperkenalkan kerajaan PH ketika ini tanpa mengamalkan sikap 'tabayyun'.

"Bila kerajaan terdahulu, rakyat bantai 'kaw-kaw'. Dengan kerajaan sekarang yang baru hendak belajar jalan pun netizen bantai juga. Jadi, masa bila perubahan dapat dirasai dan dinikmati kita?

"Kerajaan baharu ini baru hendak mendengar rintihan rakyat dan melaksanakan janji manifesto PRU secara berperingkat, lebih-lebih lagi mereka perlu memperbaiki semula beban permasalahan ditinggalkan kerajaan terdahulu.

"Jangan cepat melulu ambil tindakan dan paling penting kita sebagai sebahagian rakyat Malaysia yang memilih kerajaan baharu PH perlu memberi masa kepada mereka,"katanya kepada media di sini hari ini.

Noor Azmi berkata, pihaknya yakin pentadbiran kerajaan baharu PH ketika ini pastinya sudah ada janji manifesto yang berjaya dilaksanakan, sedang dan akan dilaksanakan dalam tempoh penggal pentadbiran mereka.

"Saya menggesa rakyat negara ini jangan cepat melompat dan terpengaruh dengan bermacam dakyah keburukan pentadbiran kerajaan PH disebarkan melalui platform media sosial, sebaliknya sentiasa bersikap tabayyun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas hasil laporan kajian didedahkan Merdeka Centre semalam yang menyebut kadar puas hati terhadap pentadbiran PH merosot daripada 79 peratus pada 31 Mei tahun lalu kepada hanya 39 peratus pada 11 Mac lalu.

Kajian sama mendapati hanya 46 peratus rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.