Himpunan demi kebangkitan Melayu, Islam

Mohamad Hassan menyampaikan amanatnya kepada rakyat di negeri ini pada Himpunan Perpaduan Ummah Negeri Pahang di Padang MPK 1 di sini, semalam.
Mohamad Hassan menyampaikan amanatnya kepada rakyat di negeri ini pada Himpunan Perpaduan Ummah Negeri Pahang di Padang MPK 1 di sini, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Himpunan Perpaduan Ummah yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK 1) di sini malam kelmarin mendapat sambutan hangat dengan kehadiran umat Islam dari seluruh negeri ini.

Himpunan yang menjadi simbol kebangkitan dan perpaduan kaum Melayu dan umat Islam khususnya antara UMNO dan Pas itu menyaksikan kehadiran belasan ribuan orang.

Sebelum kedatangan Timbalan Presiden UMNO dan Presiden Pas serta barisan tertinggi UMNO dan PAS, orang ramai mengambil peluang menunaikan solat Isyak secara berjemaah yang menjadikan padang tersebut dipenuhi umat Islam menunaikan solat.

Majlis dimulakan dengan ucapan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Ismail diikuti Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosly Abdul Jabar seterusnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan diakhiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad berkata, himpunan bersejarah kali ini merupakan manifestasi kebangkitan khususnya Melayu dan Islam yang kecewa dengan kegagalan PH termasuk dasar-dasar mereka yang menggugat Melayu dan Islam.

Menurutnya, gelombang kebangkitan berterusan Melayu dan Islam akan terus digerakkan menjadi tsunami yang mampu merebahkan PH pada PRU15.

“Untuk pertama kali dalam sejarah rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam resah dalam negara dengan apa dilakukan PH dan sehingga kini tiada petunjuk yang boleh senangkan rakyat dan kini mereka sedang cuba memecah belahkan kaum majoriti di negara ini.

"Itu sebab orang Melayu Islam bangun dan bangkit. Hak-hak Melayu dan Islam jangan dicabar dan kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat dasar yang bukan sahaja boleh menyinggung perasaan orang Melayu tetapi mampu menyinggung perasaan institusi raja-raja di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat khususnya golongan muda kini mula sedar bahawa mereka semua telah 'terlena' ketika PH menjanjikan pelbagai manifesto namun sudah hampir genap setahun tiada perkara yang boleh menggembirakan rakyat malah rakyat semakin sengsara," katanya ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah Negeri Pahang di Padang MPK 1, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad yang menjalankan tugas-tugas presiden berkata dirinya akan lebih memperkasakan UMNO dan sedang menyusun strategi untuk memenangi PRU15.

"Inilah yang sedang saya buat dalam menyatupadukan dan memperkasakan dua parti terbesar (UMNO-PAS) di negara ini.

"UMNO dan PAS telah lama berpisah namun apa penyebab pergaduhan saya pun tidak tahu sebab benda ini berlaku sejak saya lahir lagi.

"Kita mahu air yang keruh menjadi jernih dan tiada tali yang boleh dileraikan. Dengan ini kita harap agar rakyat khususnya orang Melayu dan Islam akan lebih bersatu padu, aman dan sejahtera," katanya.

Abdul Hadi turut memberi ucapan kepada masyarakat yang hadir pada himpunan tersebut.
Abdul Hadi turut memberi ucapan kepada masyarakat yang hadir pada himpunan tersebut.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, penyatuan umat Islam pada masa ini menunjukkan petanda positif termasuk dalam usaha memenangi PRU yang akan datang.

Menurutnya, penyatuan ummah khususnya antara UMNO dan PAS tidak akan menjejaskan orang bukan Islam yang akan terus mendapat pembelaan sewajarnya.

"Ini merupakan hasrat kita dan kita akan menjelajah di seluruh negara menerangkan apa matlamat atau hasrat utama kita adakan himpunan ini.

"Kita tidak mahu Himpunan Perpaduan Ummah ini diputar belit dan disalah faham oleh masyarakat yang disebarkan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda hingga melabelkan himpunan ini sebagai deklarasi peperangan kepada bukan penganut agama Islam dan orang bukan Melayu.

"Ini salah dan bukan itu tujuan kita...malah tujuan kita hanya satu iaitu untuk menyatupadukan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan penganut Islam," katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan kepimpinan kerajaan PH yang menjadi ahli Parlimen majoritinya terdiri daripada bukan beragama Islam.

"Ini terjadi kerana rakyat khususnya anak muda dan mereka yang bukan beragama Islam melakukan kesilapan mengundi PH kerana telah diracuni dengan semangat yang salah kerana mereka marah ke UMNO.

"Kalau nak kata marah, kita (PAS) lagi marah tetapi banyak kebaikan dan jasa telah dilakukan oleh mereka (UMNO) yang tidak dapat dilupakan," katanya.