Najib: PH takut penyatuan UMNO, Pas

Najib ketika berucap pada ceramah perdana perpaduan ummah, di Kampung Hutan Palas, malam tadi.
Najib ketika berucap pada ceramah perdana perpaduan ummah, di Kampung Hutan Palas, malam tadi.
A
A
A

KODIANG - Penyatuan antara UMNO dan Pas menjadi ketakutan kepada Pakatan Harapan (PH) kerana menggabungkan dua parti Melayu terbesar dalam negara.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini merupakan formula terbaik untuk merampas kembali pemerintahan negara daripada PH.

Menurutnya, sehubungan itu, kerjasama dua parti ini perlu lebih mantap pada masa akan datang.

“Orang yang menang atas pembohongan takkan lama. Menang disebabkan fitnah tak layak perintah negara, kita harus bangkit. Formula terbaik kita adalah penyatuan UMNO-Pas, kita boleh berpakat, lagi mantap kerjasama ini, lagi ditakuti PH,” katanya, ketika berucap pada ceramah perdana perpaduan ummah, di Kampung Hutan Palas, malam tadi.

Najib turut menggesa rakyat agar menggunakan kuasa rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU15) dalam menentukan masa depan mereka, setelah melakukan kesilapan memilih PH, tanpa menggunakan jalan singkat menerusi demonstrasi jalanan.

“Mana janji mansuhkan pinjaman PTPTN, sehingga anak muda terpedaya menyokong PH, sekarang mereka sudah menyesal. Ini termasuk sokongan penjawat awam yang kini kembali sokong BN pada PRK yang diadakan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan harus menjaga kebajikan rakyat termasuk menyalurkan bantuan kewangan, antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Sebab itu saya bagi BR1M, mereka kata itu rasuah, dedak. Padahal semua parti pun dapat sebab kita tahu mentadbir. Contoh di Pekan, ketika BR1M diberi, berlaku suntikan modal RM28 juta dalam ekonomi dan semua dapat manfaat, daripada rakyat hingga peniaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian hadirin yang hadir pada ceramah malam tadi.
Sebahagian hadirin yang hadir pada ceramah malam tadi.

Najib berkata, kini kuasa membeli rakyat menurun malah premis perniagaan turut gulung tikar apabila tiada lagi suntikan wang dalam pasaran ekonomi.

Bekas Presiden UMNO itu turut mempertikai prestasi barisan Kabinet yang disifatkan ‘pelik dalam membuat keputusan’.

“Ada menteri tukar kasut putih kepada hitam, mana kaitan dengan kualiti pendidikan negara, saya tak faham sampai hari ini. Ada menteri apabila dipotong subsidi baja, dia menangis. Ada menteri suruh tanam buluh, nak buat kereta terbang lah, ada pula suruh minum sesudu minyak sawit setiap hari untuk tingkatkan harga komoditi itu,” katanya.

Menurutnya, BN telah melakukan yang terbaik untuk rakyat, namun dirungkai oleh PH bagi melenyapkan kejayaan itu.

“Rakyat kini sudah tak tahan sebab semua sudah jatuh, antaranya dividen Tabung Haji. PH lakukan dua kesilapan besar apabila sebut hutang RM1 trilion, berlaku kejutan ekonomi menyebabkan saham jatuh seterusnya hibah juga rendah. Selepas itu, mudah saja salahkan BN,” katanya.

Najib berkata, kesilapan kedua adalah ‘bergaduh’ dengan China dengan memainkan persepsi konon Malaysia akan dijual kepada negara tersebut.

“Sekarang PH jilat balik kata-kata itu, kembali berunding untuk laksana projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Saya dah buat urusan baik dengan China, mereka batalkan konon terlalu mahal. Mereka buat dengan harga lebih murah RM44 bilion. Jumlah kita lebih tinggi sebab bina terowong dan mahu jimatkan perjalanan Kuala Lumpur ke Kota Bharu,” katanya.