Statut Rom tidak gugat Agong, kata Peguam Negara

Tommy (tiga dari kanan) ketika berucap pada Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur hari ini. – Foto Sinar Harian
Tommy (tiga dari kanan) ketika berucap pada Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur hari ini. – Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan tidak akan terjejas sekiranya Malaysia meratifikasikan Statut Rom, kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

Menurut Tommy, kedudukan Agong selaku Raja Berperlembagaan yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri terkecuali atas perkara yang terkandung dalam Statut Rom.

Katanya, walaupun Agong berperanan sebagai komander tertinggi angkatan tentera, keputusan memulakan perang ialah sentiasa di bawah kuasa Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Kabinet.

Tommy memberi contoh situasi apa yang berlaku di United Kingdom suatu ketika dulu, di mana Perdana Menteri, Tony Blair mengarahkan negara itu melakukan pencerobohan haram di Iraq pada 2003.

“Pada masa itu, tidak ada pihak yang menyalahkan Ratu Elizabeth sebagai Raja Berperlembagaan dan ketua angkatan tentera yang perlu diheret ke mahkamah,” kata Tommy pada Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Peguam Negara itu turut memberitahu bahawa kekebalan (imuniti) Raja-raja Melayu sejak 1993 telah terhapus apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan penubuhan Mahkamah Khas Raja-raja Melayu bagi mengadili kesalahan yang dilakukan pihak monarki.

Ujarnya, rakyat diadili di mahkamah biasa manakala Raja-raja Melayu diadili oleh Mahkamah Khas.

Tegas Tommy, Statut Rom hanya meliputi empat kesalahan yakni, jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah terhadap manusia dan pencerobohan sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang kita kecoh sangat? Sedangkan Statut Rom hanya terpakai sekiranya polis di Malaysia tidak melakukan siasatan dan tiada pendakwaan dari pejabat Peguam Negara terhadap kesalahan yang dilakukan.

“Dari situlah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan bertindak. Bahkan selepas kita tandatangani Statut Rom, kesalahan lampau juga tidak terpakai, katanya.

Peguam Negara menambah, keputusan kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom akan mengelakkan penjenayah yang terlibat dalam empat jenayah tersebut menjadikan Malaysia sebagai tempat berlindung.

Selain itu, Tommy turut mendedahkan situasi pembentangan hujahnya sebagai wakil pihak kerajaan kepada Majlis Raja-raja berkenaan Statut Rom.

“Dalam sesi pembentangan hujah Statut Rom, saya selaku Peguam Negara diberi tempoh masa 45 minit untuk membentangkannya. Apa yang dikesali ialah, sesi pembentangan antara saya dan empat ahli akademik itu diasingkan. “Saya juga tidak pasti pembentangan mereka (ahli akademik) sebelum atau selepas sesi saya. Jadi jika diberi peluang untuk bersama dalam satu sesi pembentangan, mungkin kami berlima berpeluang untuk saling komen dan mengkritik dalam setiap hujah yang dibahaskan itu,” katanya.

Malah menurutnya, keputusan untuk tidak meratifikasi Statut Rom ini juga diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan jemaah Menteri Kabinet setelah ditentang oleh pihak-pihak tertentu.

Sementara itu, Tommy menegaskan, keputusannya menasihati kerajaan meratifikasi Statut Rom kerana keputusan itu pernah diputuskan Kabinet pada 2011.

Tommy berkata, berdasarkan perspektif perundangannya yang jelas, adalah sukar untuk tidak meratifikasi undang-undang berkenaan, sekali gus menafikan tuduhan dan berita palsu yang dibawa pihak tertentu membabitkan Statut Rom.

Menurutnya, Kabinet sewaktu pentadbiran terdahulu pada 18 Mac 2011 bersetuju dengan Statut Rom namun tidak pernah meratifikasikannya dan apa dilakukan kerajaan PH ialah menyambung keputusan terdahulu.

“Pengkritik pada hari ini pernah menyokong keputusan yang ada pada hari ini. Bagaimana pihak berkenaan yang membantah Statut Rom menyebarkan berita palsu.

“Malah mengelirukan masyarakat dengan menyatakan ia akan menggugat kedudukan Raja-raja Melayu,” jelasnya.

Awal April lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan menarik diri daripada meratifikasikan Statut Rom yang ditandatangani pada 4 Mac.

Bagaimanapun, sebelum ini, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan bahawa kerajaan masih belum mengalah dalam usaha meratifikasi Statut Rom meskipun wujud pihak yang cuba memanipulasi perjanjian tersebut.

Katanya, kementeriannya akan mendedahkan usaha pihak terbabit yang menakut-nakutkan orang ramai dengan menyebarkan fakta salah mengenai Statut Rom.

Terdahulu, sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan imej satu dokumen dikemukakan kepada Raja-raja Melayu yang menurut mereka mungkin bertanggungjawab menggagalkan langkah kerajaan meratifikasi Statut Rom.

Dokumen itu mendakwa, ratifikasi Statut Rom akan menyebabkan Agong boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas peranan baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Menurut mereka, Agong memegang tanggungjawab operasi sebagai pemerintah tertinggi tentera, melampaui peranan baginda sebagai ketua lambang atau istiadat.