'Dakwaan MCA cuba guling kerajaan mengarut, tidak berasas'

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan dakwaan bahawa partinya terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai mengarut dan tidak berasas.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, dakwaan yang dilaporkan oleh sebuah portal berita pada Isnin itu adalah tidak benar dan pihaknya tidak terlibat dengan gerakan tersebut.
“Namun bagi saya sendiri sebagai Presiden MCA dan parti saya, kami tidak tahu tentang percubaan menggulingkan kerajaan sepertimana yang dilaporkan.
“Kami juga tidak akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana ahli Parlimen yang dipilih untuk 'mengorbankan' kerusi mereka untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan,” katanya dalam siaran di Facebook rasmi beliau pada Isnin.