Pertukaran dokumen di Beijing bantu pelan pengembangan Poton

A
A

PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd menukar dua dokumen di Beijing semalam dengan rakan kongsi dari Pakistan dan China untuk membantu merancakkan pelan pengembangan masa depan syarikat itu.

Proton dalam kenyataan berkata, pertukaran dokumen pertama ialah perjanjian pelesenan dan bantuan teknikal (LTAA) antara Proton dan Al-Haj Automotive, pengedar rasmi kenderaan Proton di Pakistan.

“Susulan kepada majlis pecah tanah yang diadakan di Islamabad pada Mac, LTAA mengikat perjanjian untuk Proton dan Al-Haj bagi membina kilang pengeluaran komponen terurai (CKD) baharu untuk memasang dan mengedarkan kenderaan Proton di Pakistan," katanya.

Kilang baharu itu akan dibina di Karachi di tapak baharu dengan pelaburan awal sebanyak AS$30 juta, dan akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya dan anggaran 20,000 pekerjaan tidak langsung yang menyokong industri pada tahun-tahun akan datang.

Pertukaran dokumen yang kedua adalah antara Proton dan China Construction Bank (CCB) untuk kemudahan perbankan yang bernilai RM1.88 bilion untuk membiayai pelan pengembangan perniagaan masa depan Proton berikutan ia berusaha untuk mencapai matlamatnya untuk menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang 2027.

Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berada di Beijing untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa yang kedua.

ARTIKEL BERKAITAN: PM hadir sidang kemuncak meja bulat di Forum Jalur dan Laluan

Proton turut komited untuk membangunkan ekosistem automotif Malaysia dengan menggalakkan vendor tempatan membangunkan kecekapan, kualiti dan kepakaran mereka untuk membekalkan komponen berteknologi tinggi yang dikehendaki oleh penawaran pada masa depan.

Ini telah dilakukan dengan memadankan vendor Malaysia dengan rakan mereka dari China yang merupakan pembekal kepada Geely untuk mewujudkan syarikat usaha sama baharu dan menandatangani perjanjian teknikal.

“Setakat ini, seramai 16 vendor China telah mendaftar untuk inisiatif tersebut dengan enam sebagai pelabur langsung asing. Secara kumulatif, urus niaga ini telah meraih pelaburan awal lebih RM270 juta dengan 56 peratus daripada vendor membekalkan komponen elektronik dan elektrik,” menurut kenyataan itu.

Jualan kenderaan Proton bagi suku pertama 2019 telah melebihi jangkaan dengan meningkat pada kadar terpantas dalam kalangan tiga jenama automotif utama di Malaysia.

Ia diterajui oleh Proton X70, yang menjadi SUV paling laris sejak pengenalannya.

“Pada masa ini, lebih 11,000 unit telah diserahkan sejak pelancaran pada 12 Disember 2018 manakala lebih 26,000 tempahan telah dibuat untuk SUV pertama Proton,” katanya. – Bernama