Rakyat Terengganu takluki 8 bukit sempena THD 2019

Ariffin (tengah) merakam gambar kenangan bersama sebahagian peserta THD 2019 di kaki Bukit Besar, di sini pagi tadi.
Ariffin (tengah) merakam gambar kenangan bersama sebahagian peserta THD 2019 di kaki Bukit Besar, di sini pagi tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebih 3,000 rakyat Terengganu menakluki lapan bukit di negeri ini secara serentak sempena Hari Mendaki Bukit Terengganu atau Terengganu Hills Day (THD) 2019 hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program pendakian yang julung kali diadakan secara serentak ini melibatkan semua bukit di setiap daerah kecuali Setiu.

"Ia termasuk Bukit Harimau Menangis di Kemaman; Bukit Bauk di Dungun; Bukit Batu Singa, Pulau Kapas di Marang; Bukit Besar di Kuala Terengganu, Bukit DO, Hulu Terengganu; Bukit Jong dan Bukit Maras di Kuala Nerus serta Bukit Keluang di Besut.

"Kesemua bukit terpilih merupakan lokasi strategik untuk komuniti setempat melibatkan diri dalam aktiviti sihat ini tanpa melibatkan kos tinggi. Kita jangkakan kehadiran di setiap lokasi ini adalah seramai 300 hingga 500 peserta" katanya hari ini.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas merasmikan THD 2019 di kaki Bukit Besar, di sini.

Menurut Ariffin, di samping menggalakkan penglibatan gaya hidup sihat untuk rakyat negeri ini, program ini turut bertujuan mempromosikan lokasi pendakian yang berkonsepkan riadah dan rekreasi harian untuk keluarga.

"Pemilihan lokasi (bukit) ini dibuat kerana ia telah menjadi tarikan serta tumpuan pengunjung bukan sahaja penduduk tempatan, malah berpotensi menjadi pilihan pengunjung luar yang datang ke negeri ini.

"Selain itu, ia merupakan langkah permulaan dalam usaha menarik pelancong yang meminati eko-pelancongan dan pelancongan sukan untuk datang ke Terengganu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program ini akan dimasukkan di dalam kalendar acara tahunan kerajaan negeri pada masa akan datang demi merancakkan suasana pelancongan dan sukan rekreasi negeri ini.