15 maut dalam serbuan polis Sri Lanka di lokasi militan

Wartawan mengambil gambar dalam Gereja St. Anthony di Colombo yang menjadi antara lokasi sasaran siri pengeboman yang mengorbankan lebih 250 nyawa pada 21 April lalu. - Foto AFP
Wartawan mengambil gambar dalam Gereja St. Anthony di Colombo yang menjadi antara lokasi sasaran siri pengeboman yang mengorbankan lebih 250 nyawa pada 21 April lalu. - Foto AFP
A
A
A

COLOMBO - SRI LANKA. Sekurang-kurangnya 15 orang termasuk enam kanak-kanak terbunuh apabila pengebom berani mati meletupkan diri ketika serbuan oleh pasukan keselamatan Sri Lanka, kata polis hari ini.

Dalam kejadian malam semalam, tiga orang lelaki meletupkan bahan letupan yang membunuh tiga wanita dan enam kanak-kanak dalam sebuah rumah persembunyian dipercayai milik militan, di bandar Kalmunai.

"Tiga lelaki lain juga dipercayai pengebom berani mati ditemui mati di luar rumah," kata kenyataan polis.

Menurut seorang pegawai tentera, pasukan polis yang dibantu tentera berbalas tembakan dengan pengebom terbabit selama lebih satu jam dan mayat mereka di bawa keluar awal pagi tadi.

Sementara itu, jurucakap tentera Sumith Atapattu berkata, pihak pengebom melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan yang cuba menyerbu masuk rumah berkenaan dan seorang penduduk awam turut maut akibat terperangkap dalam insiden tembak-menembak itu.

Operasi bersama terbabit dilakukan ekoran maklumat bahawa pihak yang terlibat dalam siri pengeboman pada 21 April lalu yang meragut lebih 250 nyawa itu bersembunyi di kawasan Kalmunai, 370 kilometer timur Colombo.

Tiada kematian dilaporkan dalam kalangan pasukan keselamatan, kata polis. - AFP

kapsyen: Wartawan mengambil gambar dalam Gereja St. Anthony di Colombo yang menjadi antara lokasi sasaran siri pengeboman yang mengorbankan lebih 250 nyawa pada 21 April lalu. - Foto AFP

Artikel Berkaitan: