Kadar zakat fitrah Selangor kekal RM7

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini kekal RM7 sama seperti tahun sebelumnya.

Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dalam satu kenyataan berkata, penentuan kadar zakat fitrah berdasarkan kepada harga semasa bagi beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad iaitu 2.6 kilogram (kg).

Bagaimanapun, bagi golongan berkemampuan boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri dan tanggungan.

“Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14 seorang bagi beras yang bernilai RM13 hingga RM44 (untuk harga beras seberat 5kg) dan RM21 bagi beras yang bernilai melebihi RM44.

“Kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7 adalah sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, Zakat Selangor melantik seramai 2,754 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini.

“Orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 buah cawangan Zakat Selangor di negeri ini di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang.

“Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui 14 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 15 Penolong Amil Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di seluruh Selangor,” katanya..

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan yang sama, Zakat Selangor akan membuka 27 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini.

Ia bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.

Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang.