Keretakan Flat Taman Keramat Permai masih aktif

Anggota penguat kuasa datang memantau keadaan di Pangsapuri Taman Keramat Permai.
Anggota penguat kuasa datang memantau keadaan di Pangsapuri Taman Keramat Permai.
A
A
A

AMPANG - Tiga agensi iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Bahagian Struktur Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan keretakan struktur bangunan di Flat Taman Keramat Permai masih aktif.

Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd. Yusof berkata, pihak berkenaan sedang memasang alat pengesan pergerakan tanah di lokasi kejadian.

"Pasukan Forensik JKR dan Perunding PKNS, Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) juga sedang menjalankan siasatan lebih terperinci termasuk memasang alat bagi mengesan mendapan tanah, pergerakan bangunan dan elemen lain," katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat.

Ahmad Fairuz berkata, pihaknya menjangkakan siasatan akan dijalankan selama tiga hari.

"Kita mahu melihat laporan siasatan tersebut secara konsisten, sebelum membuat keputusan sama ada bangunan ini selamat untuk diduduki atau tidak,"katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPAJ, Abdul Aziz Abd Jalal berkata, seramai sembilan daripada 37 keluarga berada di pusat pemindahan sementara.

ARTIKEL BERKAITAN: 37 keluarga diarahkan berpindah, pangsapuri retak

"Jumlah tersebut sehingga jam 12 tengah hari. Pejabat Daerah dan Tanah Gombak turut memberi sumbangan makanan kepada mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seramai 37 keluarga telah diarahkan berpindah susulan kejadian keretakan di Blok F FlatTaman Keramat Permai, di sini, semalam.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihak Unit Bencana Selangor telah menerima aduan kira-kira jam 12.42 tengahari memaklumkan bahawa telah berlaku keretakan di bangunan itu.