Mangsa lemas terakhir ditemui

Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang.
Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Mayat terakhir pelajar Sekolah Islam As Syiddiq yang dihanyutkan arus deras sewaktu mandi bersama tujuh lagi rakannya di Sungai Kampung Sahari, di sini, Khamis lalu, berjaya ditemui pagi ini.

Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba II Wan Syariman Wan Saleh berkata, mayat Mohd Danish Mirzan Mohd Said, 16, berjaya ditemui oleh penduduk kampung pada jam 10.29 pagi.

"Mangsa telah dijumpai oleh penduduk kampung di Jambatan Parit Salleh iaitu pada jarak kira-kira 20.5 kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang iaitu di Sungai Kampung Sahari.

"Mayat mangsa juga telah melepasi pintu air Loji Rawatan Air Simpang Renggam dan jarak daripada pintu air ke lokasi mangsa ditemui kira-kira 5.5 kilometer," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk tindakan seterusnya dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memakan masa kira-kira 41 jam itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.16 tengahari tadi.

Semalam, pasukan SAR juga telah memasang jaring di pintu air berkenaan bagi mengelakkan mangsa melepasi kawasan pencarian selepas operasi pencarian di air oleh Pasukan Penyelamat Di Air ditangguhkan sementara petang semalam sebelum disambung semula pagi tadi.

Bapa mangsa, Mohd Said Abdul Wahab, 56, ketika ditemui Sinar Harian, semalam berkata, dia bersama isterinya, Rozita Mohd Yusof, 49, berharap anak ketiganya itu dapat segera ditemui sama ada dalam keadaan bernyawa atau sebaliknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.16 petang Khamis lalu, Mohd Danish Mirzan bersama seorang lagi mangsa yang berjaya ditemui awal pagi semalam, Muhammad Ammar Mazeni, 13, dihanyutkan arus deras selepas mandi di Sungai Kampung Sahari bersama enam lagi rakannya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua pelajar tahfiz dikhuatiri lemas

Arus deras hanyutkan pelajar tahfiz

Saya tak salahkan sekolah, kata bapa mangsa

Tragedi lemas, hanya sempat paut tangan rakan