X

Kindly register in order to view this article
!

Tragedi hitam Sri Lanka selepas Christchurch

A
A

PADA Hari Easter 21 April lalu telah berlaku siri pengeboman di beberapa gereja Kristian dan hotel mewah di Colombo, Sri Lanka. Jenayah kejam tersebut telah meragut kira-kira 310 nyawa sementara 500 lagi cedera parah. Kebanyakan mangsa adalah penganut Kristian anak tempatan sementara yang lain adalah pelancong asing.

Media tempatan melaporkan seramai 24 suspek telah ditangkap. Laporan agensi perisik antarabangsa pula menyebut bahawa serangan kejam tersebut telah dilakukan oleh kumpulan extremis Islam Sri Lanka, National Tawheed Jemaah (NTJ) yang dikatakan ada kaitan dengan ISIS.

Sebelum ini pada 15 Mac lalu, seorang pemuda kulit putih warga Australia, Brenton Tarrant telah menyerang umat Islam yang sedang solat Jumaat di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand. Tragedi itu telah mengakibatkan 50 orang Islam terkorban sementara puluhan lain lagi cedera parah.

Brenton yang menjulang wadah perjuangan supremasi kulit putih telah didakwa di mahkamah kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai. Kita tidak tahu sama ada pembunuhan beramai-ramai di Sri Lanka ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pembunuhan di Christchurch.

Hakikatnya, Sri Lanka sendiri mempunyai sejarah konflik agama dan perkauman yang berpanjangan sejak berdekad lamanya. Konflik agama dan keganasan perkauman telah tercetus sekian lama di antara kumpulan majoriti Buddist Sinhala sebagai kumpulan majoriti dengan 70.2% jumlah penduduk Sri Lanka dan kaum minoriti penganut Hindu 12%, Islam 9.7% dan Kristian 7.4%.

Jenayah atas nama agama

Keganasan, jenayah dan terrorisme yang dilakukan di atas nama agama telah berlaku sejak sekian lama, semenjak manusia mula-mula menganut agama dan berkembang berbagai agama serta fahaman yang berbeza-beza.

Sama ada Yahudi, Kristian, Islam, Buddha atau lain-lainnya, masing-masing mempunyai sejarah hitam dalam hal ini. Antaranya Perang Salib yang dimulakan Kristian, pembunuhan orang Islam Palestin oleh Yahudi, jihad yang dilancarkan orang Islam termasuk yang lakukan oleh al-Qaeda, Taliban, ISIS, Boko Haram dan lain-lain lagi, tragedi Holocaust, peristiwa Inquisition (Kristian), pembersihan etnik di Burma; Serangan 9/11; Klu Klux Klan; pertumpahan darah di Kashmir melibatkan penganut Hindu dan Islam serta banyak lagi contoh jenayah kemanusiaan dilakukan atas nama agama.

Kebelakangan ini semakin banyak keganasan dan terrorisme yang didakwa telah dilakukan oleh extremis daripada kelompok Islam.

Islam sebagai agama rahmatan lil alamin

Mengikut data yang dikeluarkan oleh Global Terrorism Index (GTI) mendapati lebih daripada 80 peratus kegiatan terrorisme di dunia hari ini dilakukan atas nama agama.

Mengapakah ini berlaku sedangkan setiap agama tidak pernah sama sekali menganjurkan keganasan, malah dengan cukup keras menolak setiap unsur ganas yang dibawa oleh sesiapa sahaja atas nama agama. Apatah lagi Islam, agama yang diturunkan oleh ALLAH SWT sebagai agama rahmatan lil alamin.

Di Malaysia hari ini kita lihat dalam media sosial seperti Facebook, Messenger, Instagram, Twitter, WhatsApp dan sebagainya begitu banyak perkataan keji, maki hamun dan luahan benci yang dizahirkan oleh orang yang mengaku diri mereka Islam.

Apakah sikap dan perangai sedemikian sejajar dengan konsep rahmatan lil alamin dan melayakkan kita memegang status sebagai umat yang terbaik dan insan terpilih?

Islam menjadi alat politik di Malaysia Keganasan seperti di Sri Lanka dan Christchurch boleh berlaku di Malaysia jika kita gagal menangani masalah politik ekstremis dan fahaman melampau yang sedang menular dalam masyarakat dan negara. Tragedi 13 Mei 1969, insiden Kampung Medan 2001 dan yang terkini, insiden Kuil Seafield pada November 2018 menjadi petunjuk yang jelas bahawa terrorisme boleh merentasi agama dan kaum.

Masyarakat Melayu Islam di Malaysia sedang berdepan dengan krisis keyakinan yang membabitkan agama dan politik mereka. Agama yang sepatutnya membawa rahmat telah menjadi satu dikotomi dan paradoks kepada mereka kerana apa yang mereka pelajari dari al-Quran dan sunnah kadang-kadang tidak seiring dengan fahaman politik serta amalan hidup harian mereka. Politik bukan lagi satu benteng dan wadah perjuangan untuk meningkatkan syiar agama tetapi menjadi medan untuk mengejar duniawi.

Maka kita dapati Pas sebagai sebuah parti Islam amat terbeban dengan imej parti politik oportunisme yang memperalatkan agama untuk mengejar kuasa dan kemewahan dunia. Kita lihat ramai pemimpin parti itu yang mengeluarkan fatwa yang berbeza-beza malah sering bertentangan antara satu sama lain kerana mengejar cita-cita politik yang sempit.

Perkara halal haram sering berubah-ubah mengikut keadaan dan situasi politik semasa. Malah menipu dan berbohong juga dikatakan menjadi satu fardu kifayah dengan alasan menyelamatkan parti atau pemimpin. Lengkap dengan nas, ayat Quran dan hadis sebagai sandaran dan justifikasinya.

Pengikut yang berani berfikir menjadi bingung dengan politik yang berputar-putar sementara yang tegar mengikuti saja fatwa yang dikeluarkan pemimpin. Ibarat pengikut setia yang mempercayai ustaz yang memberitahu mereka bahawa yang terbang keluar dari belukar tadi adalah kambing. Walaupun terbang tapi tetap kambing. Kena percaya kerana ustaz yang berkata begitu.

Apatah lagi bila ustaz terbilang dikatakan sering berjumpa dengan Nabi Muhamad SAW dalam mimpi untuk mendapat amanat atau inspirasi. Pengikut setia terus kelu dan terdiam, malah mengikut saja apa yang dikatakan ustaz. Bagaikan wahyu yang turun dari langit.

Pada akhir 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menulis dalam blognya bahawa Pas tidak boleh dimaafkan kerana peranannya dalam memecah-belahkan orang Melayu. Beliau berkata, Pas memecah-belah orang Melayu dengan amat mendalam dengan isu kafir-mengkafir dan berbagai fatwa politik yang dikeluarkan sehingga hari ini 'masih ada yang sembahyang berjemaah berasingan di masjid yang sama'.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tanpa berselindung menyelar Pas kerana telah banyak mengelirukan umat Islam.

Kata beliau: “Tahukah kamu apakah yang mengelirukan? Apabila dahulu parti anda mengkafirkan orang yang berbeza parti sehingga ada yang bercerai-berai, tidak makan sembelihan, solat dua imam, bahkan sehingga ada yang mati terkorban kononnya syahid menentang berbeza parti.

“Kemudian hari ini semuanya sudah berbeza. Padahal parti yang dikafirkan itu tetap sama, bahkan sebahagian besar pemimpin juga tetap sama. Anda menyebut ‘Perlembagaan kita adalah perlembagaan penjajah, kafir dan jahiliah’. Kemudian hari ini anda menyebut kita menjunjung dan menghormati Perlembagaan. “Betapa ramai yang telah menjadi korban oleh fatwa dan amanat parti anda itu?”

UMNO pula masih bergelumang dengan masalah integriti ekoran salah guna kuasa, terpalit dengan banyak skandal rasuah berskala mega semasa mereka dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara dulu.

UMNO tetap menjulang politik perkauman sehingga mengancam perpaduan dan keharmonian kaum. Anehnya, Pas ikut bersekongkol dan menyokong politik toksik ini walaupun jelas dan nyata Islam tidak membenarkan politik perkauman.

ALLAH SWT telah berfirman: "Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu dapat saling kenal-mengenali di antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (Surah al-Hujarat 49:13)

Nabi Muhamad SAW pula telah menyebut dalam khutbah wida Baginda, antara lainnya: "Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa. Tidak ada bangsa Arab yang lebih mulia dari bangsa bukan Arab dan sebaliknya; juga tidak ada yang berkulit putih lebih mulia dari yang berkulit hitam atau sebaliknya. Ketahuilah bahawa setiap kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh."

PKR, Bersatu dan Amanah dari Pakatan harapan (PH) yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah dan menggantikan UMNO/BN juga bermasalah.

Akhir-akhir ini, PH telah dihantui oleh banyak tanda tanya, persoalan dan kemusykilan tentang kewibawaan dan keupayaan mereka untuk melindungi kepentingan rakyat termasuk kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Dalam keadaan sebegitu, Melayu Islam menjadi pening dan bingung memikirkan hala tuju serta masa depan mereka.

Rakyat perlu menilai dengan kritis Rakyat Malaysia, khususnya Melayu Islam perlu menilai secara kritisnya tentang keadaan politik semasa, parti dan pemimpin mereka, kedudukan serta hala tuju mereka agar mereka dapat membuat keputusan yang wajar untuk menjaga kepentingan dan masa depan mereka. Melayu Islam perlu akur dan peka dengan firman ALLAH SWT bahawa: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.” (Surah Ar-Ra'd 13:11).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!