MOTAC sedia RM10j promosi Tahun Melawat Malaysia 2020

Isham menandatangani plag sebagai gimik perasmian Pasar Tani Terapung Kota Pengkalan Datu di sini hari ini.
Isham menandatangani plag sebagai gimik perasmian Pasar Tani Terapung Kota Pengkalan Datu di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyediakan RM10 juta kepada seluruh negeri di Malaysia bagi tujuan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM), tahun depan.

Ketua Setiausaha, Datuk Isham Ishak berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada RM110 juta yang disediakan kerajaan untuk tujuan TMM 2020.

"Jumlah RM110 juta tersebut dibahagikan kepada dua iaitu RM50 juta untuk promosikan TMM manakala RM60 juta lagi adalah melalui geran persepadanan. Untuk negeri pula kerajaan peruntukkan RM10 juta dan akan dibahagikan nanti.

"Untuk promosikan ini, Kelantan akan menerima RM1.1 juta dan kita amat menggalakkan kepada mereka yang mempunyai produk pelancongan untuk memohon geran disediakan. Kita yakin sambutannya amat memberangsangkan dan prosedurnya adalah seperti biasa," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau hadir mempromosikan Pasar Tani Terapung Kota Pengkalan Datu yang telah beroperasi pada 9 September 2017, bertempat di pekarangan Cerana Villa Resort dan Sungai Pengkalan Datu, hari ini.

Program ini juga merupakan contoh program Community Based Tourism (CBT) yang dikendalikan komuniti setempat iaitu Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada).

Turut perkenan hadir, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al- Haj ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Laksamana Kelantan, Datuk Seri Diraja Sharifah Azwan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullai; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, Tengku Kaya Perkasa, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Fiessal dan pengarah-pengarah agensi negeri dan pusat.

Artikel Berkaitan: