PRK Sandakan: DAP berhadapan saingan empat calon

Calon DAP Vivian Wong Shir Yee (tengah) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal (empat, kiri) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng (empat, kanan) berarak ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen P198 Sandakan di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua hari ini. - Foto Bernama
A
A

SANDAKAN – [DIKEMASKINI] DAP berdepan persaingan lima penjuru pada PRK Parlimen Sandakan, 11 Mei ini.

DAP mempertaruhkan Vivian Wong Shir Yee, 30, anak bongsu penyandang kerusi Parlimen Sandakan sebagai calon untuk mempertahankan kawasan itu, dengan dicabar calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63, yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Sapi.

Beliau turut mendapat tentangan tiga calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Pegawai Pengurus PRK Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama calon yang bertanding untuk PRK Sandakan pada jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, pusat penamaan calon di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua Sandakan dibuka pada jam 9 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan berjalan lancar selama sejam.

Sulaiman merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.05 pagi, diikuti Linda (9.06 pagi), manakala Hamzah (9.08 pagi), Siew Yung (9.09 pagi) dan Vivian (9.14 pagi).

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, dari DAP, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 28 Mac lepas.

Vivian merupakan anak bongsu daripada empat beradik, berkelulusan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia, terlibat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP.

Anak kelahiran Sandakan itu, yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew di sini, menjadi pegawai khas mendiang bapanya ketika menjawat jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta aktif dalam aktiviti sosial.

Linda, 63, Naib Presiden PBS merupakan bekas Ahli Parlimen Batu Sapi selama dua penggal selepas tewas pada PRU14 kepada Datuk Liew Vui Keong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Siew Yung pula merupakan seorang ahli perniagaan, manakala Sulaiman merupakan bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan dan Hamzah adalah bekas pengasas Amanah Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Sandakan pada hari ini dan hari mengundi pada 11 Mei dengan hari pengundian awal pada 7 Mei.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan DUN iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada jumlah pengundi itu, 20, 274 orang adalah wanita, manakala 19,857 lelaki.

Mendiang Stephen dipilih sebagai Ahli Parlimen Sandakan selama dua penggal sejak PRU13 apabila berjaya mengalahkan calon BN, Datuk Leong Vui Keong dengan majoriti 1,088 undi.

Pada PRU14 lepas, mendiang Stephen berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi untuk mengalahkan calon BN Datuk Lim Ming Hoo. – Bernama