Operasi padam kebakaran hutan tanah gambut diteruskan

Operasi pemadaman turut dilakukan melalui darat. (Gambar kecil: Nor Hisham)
Operasi pemadaman turut dilakukan melalui darat. (Gambar kecil: Nor Hisham)
A
A
A

KUANTAN - Operasi pemadaman kebakaran hutan tanah gambut di Sungai Ular berhampiran Taman Perindustrian Malaysia China-Kuantan (MCKIP) di sini diteruskan dengan tumpuan kepada tompok-tompok kebakaran kecil yang masih terbakar dalam kawasan seluas 80 hektar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, hasil operasi dijalankan pihaknya selama dua hari bermula Khamis lalu, sebanyak 38 hektar daripada lebih 400 hektar kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan.

Menurutnya, dalam operasi semalam, pihaknya masih meneruskan pemadaman menggunakan teknik ‘water bombing’ dengan bantuan helikopter jenis Mi 17-iV Unit Udara JBPM Subang yang mampu membawa air dengan kapasiti 1,600 liter untuk setiap ‘pengeboman’.

“Pada operasi semalam, sebanyak 48 bumbi bucket dengan anggaran lebih 76,000 liter air dilepaskan dan berjaya memadamkan kebakaran melibatkan kawasan seluas 22 hektar.

“Dalam operasi ini, pihak bomba mendapat bekalan air dari tasik Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Gebeng dan tasik berhampiran kilang milik Lynas,” katanya.

Pemisah kebakaran turut dibuat bagi mengelak api merebak ke kawasan ladang berhampiran.
Pemisah kebakaran turut dibuat bagi mengelak api merebak ke kawasan ladang berhampiran.

Nor Hisham berkata, operasi pemadaman kebakaran hutan itu turut dilakukan melalui darat melibatkan kawasan di belakang MCKIP dan Amsas dan dalam kawasan Ladang Bukit Palas.

“Anggota yang ditugaskan untuk pemadaman melalui darat membina pemisah kebakaran bagi mengelak api merebak kawasan ladang sawit berdekatan.

Artikel Berkaitan:

“Operasi semalam ditangguhkan jam 5.30 petang dan disambung semula hari ini,” katanya.

Sebelum ini kawasan tersebut diselubungi asap apabila sebahagian daripada kawasan 848 hektar hutan tanah gambut di kawasan itu terbakar menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan 300 iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

Kebakaran membabitkan kawasan seluas 420 hektar merangkumi kawasan hutan yang sudah dan belum diteroka.

Kebakaran itu dikesan di tiga lokasi utama iaitu di sebelah kawasan kuari, Sekolah Kebangsaan Sungai Baging dan Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Berikutan keadaan cuaca kering menyebabkan kebakaran semakin merebak dan menghampiri MCKIP.