Interaksi konsep 'Rahmatan Lil Alamin' capai 50 peratus

Mujahid Yusof - Foto Bernama
Mujahid Yusof - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Interaksi Jabatan Perdana Menteri terhadap konsep 'Rahmatan Lil Alamin' dengan masyarakat sudah mencapai 50 peratus, kata menterinya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, kebanyakan interaksi tersebut berlaku dengan jabatan dan agensi kerajaan agar penjawat awam dapat memahami dengan sebaiknya konsep yang cuba diterapkan dalam citra Malaysia Baharu.

"Baki 50 peratus lagi kita akan cuba berinteraksi dengan masyarakat pula dan saya yakin ia mampu dicapai pada hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival Ambang Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan di sini, malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata bagi menyampaikan mesej 'Rahmatan Lil Alamin' dengan lebih jelas, pihaknya akan mengadakan Karnival Rahmah peringkat kebangsaan pada Julai ini.

“Karnival tersebut akan menggabungkan kementerian-kementerian dan akan diadakan selama tiga hari sebelum bergerak ke peringkat negeri.

"Setakat ini Melaka, Johor dan Perak sudah menyatakan mereka berminat mengadakan karnival yang sama," katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan yang timbul berhubung konsep tersebut, Mujahid berkata Jabatan Perdana Menteri menggunakan pelbagai kaedah bagi menerangkannya kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Kita mempunyai banyak cabang. Media konvensional kita guna selain media sosial. Apabila ada orang yang timbulkan kekeliruan mengenai isu 'Rahmatan Lil Alamin', kita ada Unit Komunikasi Strategik yang akan memberi penerangan mengenai perkara sebenar.

"Alhamdulillah dengan cara berkenaan, kita dah berjaya jelaskan kepada masyarakat mengenai konsep tersebut," katanya. - Bernama