PKR terima baik hasil kajian Merdeka Center

Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - PKR menerima dengan positif keputusan kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center yang menunjukkan kemerosotan kadar puas hati terhadap pentadbiran kerajaan PH.

Setiausahanya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peringatan ini perlu kepada kerajaan supaya tidak tergelincir daripada landasan mandat rakyat yang memilih PH untuk menjadi sebuah kerajaan yang cekap dan bertanggungjawab.

Menurutnya, kajian itu merupakan sesuatu yang baik untuk kerajaan PH mengenal pasti isu yang menyumbang kepada kemerosotan rasa puas hati rakyat kepada pemerintah.

"Kajian kali ini saya respons dua perkara dari segi isu yang menyumbang kepada menurunnya kurang sokongan, kami terima dengan jujur tetapi saya tidak bersetuju dengan peratusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sokongan terhadap PM, kerajaan PH merosot

"Bagi saya kajian ini sesuatu yang baik dan merupakan peringatan kepada kerajaan PH supaya tidak tergelincir," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat negeri di sini malam tadi.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengulas mengenai keputusan kajian oleh Merdeka Centre semalam.

Hasil dapatan kajian itu menyebut kadar puas hati terhadap pentadbiran PH merosot daripada 79 peratus pada 31 Mei tahun lalu kepada hanya 39 peratus pada 11 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Kajian sama mendapati hanya 46 peratus rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Menurut Merdeka Center, kaji selidik setakat Mac itu menunjukkan kemerosotan berbanding kadar 83 peratus pada Mei lalu - sebaik sahaja selepas PH mengambil alih pentadbiran dan 71 peratus pada Ogos lalu iaitu menjelang 100 hari pentadbiran PH.