Penunjuk perasaan Sudan tuntut pemerintahan awam

Penunjuk perasaan menunaikan solat Jumaat di luar ibu pejabat tentera, semalam.
Penunjuk perasaan menunaikan solat Jumaat di luar ibu pejabat tentera, semalam.
A
A
A

KHARTOUM - SUDAN. Ribuan penunjuk perasaan di Sudan menunaikan solat Jumaat di luar ibu pejabat tentera, semalam sehari selepas kumpulan protes membanjiri Khartoum untuk menggesa pemerintah tentera menyerahkan kuasa.

Kumpulan tersebut berhimpun di luar kompleks tentera di tengah Khartoum sejak 6 April lalu pada mulanya adalah untuk menuntut penggulingan bekas presiden Omar al-Bashir.

Tetapi, penunjuk perasaan masih meneruskan protes duduk dan bantah walaupun selepas penyingkiran Bashir pada 11 April lalu. Kali ini, mereka menggesa majlis tentera menyerahkan kuasa kepada pentadbiran awam.

Difahamkan, majlis tentera masih berkeras enggan menyerahkan kuasa walaupun tiga anggota meletak jawatan pada Rabu lalu kerana berdepan tekanan daripada kumpulan protes yang mendapat sokongan antarabangsa.

Penunjuk perasaan terus melaungkan slogan menuntut 'kebebasan' ketika Sheikh Matter Younis menyampaikan khutbah.

"Kami tidak akan berganjak selagi tuntutan utama kami untuk mendapatkan pemerintahan awam tidak dipenuhi," katanya.

Majlis tentera yang dipimpin Jeneral Abdel Fattah al-Burhan berkata, beliau akan memegang kuasa untuk tempoh peralihan selama dua tahun.

Pemimpin protes telah mengadakan beberapa pusingan rundingan dengan majlis itu dan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama untuk merangka pelan masa depan, namun tiada kemajuan hingga kini. - AFP

Artikel Berkaitan: