Pelajar miskin terima sumbangan

Wan Rosdy beramah mesra bersama pelajar yang menerima sumbangan Yayasan Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, semalam.
Wan Rosdy beramah mesra bersama pelajar yang menerima sumbangan Yayasan Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 100 pelajar yang kurang berkemampuan di daerah ini menerima sumbangan Ahlan Ya Ramadan daripada Yayasan Pahang sebagai persiapan menyambut Ramadan.

Sumbangan sebanyak RM300 diberikan kepada anak yatim dan pelajar miskin membabitkan empat sekolah rendah serta 10 sekolah menengah di daerah ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan berkenaan membuktikan keprihatinan Yayasan Pahang terhadap kebajikan pelajar selain memuliakan Ramadan dengan meraikan golongan yang memerlukan.

“Program ini dapat memberi ruang yang cukup besar kepada Yayasan Pahang dalam mencapai salah satu hasrat utama kerajaan iaitu 'memakmurkan kehidupan’,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Kompleks Yayasan Pahang di sini, semalam.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih, Syed Putra Ramadan Al Idros, 16, sumbangan sempena Ramadan itu menggembirakan dia dan rakan-rakan lain.

Dia juga bersyukur kerana pemberian itu membantu meringankan beban bapanya yang hanya bekerja kampung.

"Adik- beradik saya lapan orang, persiapan kami menyambut Ramadan memerlukan perbelanjaan tambahan. Jadi sumbangan ini boleh tampung pendapatan ayah," katanya.

Hakimi Abu Bakar, 12, pula berkata, sumbangan tersebut bernilai buat dirinya untuk membeli keperluan persekolahan dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Soi itu teruja kerana boleh menggunakan wang itu untuk membeli baju raya.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada Yayasan Pahang kerana prihatin dengan nasib kami," katanya.