'Askar Jerman' beri amaran

Shifudin ( kiri) bersama penduduk kampung berdiri di sebelah replika askar tentera Jerman di laluan masuk Kampung Parit Jerman.
Shifudin ( kiri) bersama penduduk kampung berdiri di sebelah replika askar tentera Jerman di laluan masuk Kampung Parit Jerman.
A
A
A

PONTIAN - Replika tentera Jerman memegang tanda amaran meminta pengguna jalan raya memandu perlahan di Kampung Parit Jerman di sini mendapat perhatian sehingga tular di media sosial.

Replika yang sebelum ini diletak di salah satu persimpangan di Kampung Parit Jerman telah dipindahkan ke laluan masuk kampung itu, sejak seminggu lalu.

Ketua Kampung Parit Jerman, Shifuddin Said berkata, penghasilan replika yang diperbuat daripada bahan terpakai itu bertujuan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya.

“Sejak dua tahun lepas, jalan kampung ini mula sibuk dengan bilangan kenderaan yang semakin bertambah. Bukan sahaja kereta tetapi bas, lori dan van pun guna jalan di sini.

“ Ini menyebabkan kemalangan kecil seperti kenderaan berlanggar ketika berselisih kerap berlaku. Maklumlah jalan kampungkan tak lebar dan kecil,”katanya.

Jelasnya, permohonan telah dibuat bagi kerja-kerja pelebaran jalan raya dan papan tanda pemberitahuan had laju dan keselamatan jalan raya di peringkat daerah, baru-baru ini.

“Jalan Kampung Parit Jerman sekarang jadi laluan alternatif kerana jaraknya lebih dekat untuk ke Tanjung Bin iaitu cuma 10 km berbanding jalan utama Pontian- Kukup,” katanya.

Selain bertujuan mengekang kemalangan, replika itu turut menceriakan kampung terbabit. Penduduk, Kamarudin Pardi, 43, berkata, bukan sahaja orang dewasa tetapi kanak-kanak turut teruja melihat replika itu.

“Selalunya saya amik anak-anak (Akid Haikal, 5, dan Mohd Fahmi,6) balik dari sekolah naik motosikal.

Artikel Berkaitan:

“Bila lalu saja depan replika ni, mereka bukan main sorak lagi. Kita tengok pun suka, inikan pula budak-budak,” katanya.

Namun di sebalik nama Kampung Parit Jerman, pasti terselit asal usul dan sejarah kehadiran orang Jerman di situ.

Sememangnya terdapat bukti kehadiran orang Jerman iaitu pedagang suatu masa dahulu dipercayai di kawasan Sungai Peradin.

Kewujudan tangga batu di Sungai Peradin berhampiran Kampung Parit Jerman menjadi bukti kehadiran sekumpulan tentera Jerman telah datang untuk mengusahakan kegiatan perdagangan.

Biarpun tiada sebarang kajian sejarah yang dilakukan, namun bagi kebanyakan penduduk terutama generasi terdahulu percaya, askar Jerman pernah datang ke situ.

Lokman Talib, 80, berkata, jika dahulu tangga batu Sungai Peradin menjadi tarikan pelancong, namun ia seakan-akan sudah dilupakan berikutan kurang hebahan mengenai keistimewaan tangga batu di situ.

Malah katanya, satu-satunya cara untuk ke tangga batu iaitu laluan pejalan kaki yang dibina daripada kayu, kini tidak dapat digunakan berikutan keadaannya yang semakin uzur dan sudah banyak struktur yang rosak.

"Bagi penduduk tempatan di sini, tangga batu menjadi kebanggaan bukti kehadiran orang-orang Jerman sehingga wujud nama sebuah kampung Parit Jerman di sini.

"Tangga batu di sini, dapat dilihat ketika air sungai sedang surut dan terdapat empat buah tangga batu di kawasan sekitar Peradin," katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Jelasnya, pada sekitar tahun 90an, Sungai Peradin menjadi lokasi pelancongan yang kerap dikunjungi pelancong bagi melihat pelbagai keunikan di situ termasuklah tangga batu.

"Bukan sahaja pelancong, malah pemimpin-pemimpin utama di negeri ini ketika itu turut melawat Sungai Peradin bagi melihat sejarah tangga batu di sini.

"Ketika itu, Sungai Peradin satu-satunya kawasan yang mempunyai laluan pejalan kaki yang dibina daripada kayu melintasi kawasan paya bakau," katanya. Pada Februari lalu, laluan konkrit sepanjang kira-kira 1.5 km siap dibina bagi menggantikan laluan pejalan kaki kayu untuk melihat tangga batu.

Papan tanda Kampung Parit Jerman.
Papan tanda Kampung Parit Jerman.

Penduduk, Ahmad Daud Mohd Saeng, 51, berkata, tangga batu sering menjadi cerita penduduk kepada masyarakat luar yang bertanya tentang asal-usul Kampung Parit Jerman tidak jauh dari Sungai Peradin.

“Ramai yang tertarik hendak tengok binaan tangga batu di Sungai Peradin, tapi susah hendak ke sana sebab perlu naik bot.

“Laluan jeti di kawasan paya bakau menuju ke tangga batu sudah reput dan banyak yang rosak, tidak selamat untuk digunakan lagi,” katanya.

Ahmad Daud berkata, laluan konkrit itu memberi nafas baharu kepada usaha menarik pelancong melihat keindahan hutan paya bakau di Sungai Peradin.

“Kini, sungai ini sudah mempunyai laluan pejalan kaki di kawasan hutan paya bakau selain Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Pulau Kukup,” katanya.

Ketika Jerman menjadi juara 2014, penduduk Kampung Parit Jerman meraikan kemenangan tersebut dengan sorakan luar biasa dan diadakan kenduri nasi ambeng.

Kampung itu menjadi perhatian dan sebutan di media-media sosial apabila perlawanan bola sepak melibatkan negara Jerman terutama ketika Piala Dunia.

Penduduk, Ahmad Daud Mohd Saeng, 51, berkata, ramai yang meletakkan gambar papan tanda Kampung Parit Jerman selepas bermulanya Piala Dunia 2018 Rusia.

“Ramai yang sudah tahu tentang Kampung Parit Jerman. Jadi mereka gunakan nama kampung kami sebagai bahan di media sosial.

“Macam-macam gambar yang diedit termasuk meletakkan gambar pemain Jerman,” katanya. Dalam pada itu, Shifuddin turut berharap pembinaan pintu gerbang diberi perhatian oleh pihak berkenaan apatah lagi dengan kedudukan kampung yang terletak di laluan utama ke Pekan Nenas dan Tanjung Piai.

“Papan tanda kampung pada masa kini agak kecil dan tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tempat untuk orang ramai bergambar di situ.

“Memandangkan ini merupakan laluan utama, ramai yang singgah untuk merakam kenangan di hadapan papan tanda kampung terutamanya ketika cuti raya yang lalu.

“Jika negeri Pahang mempunyai Kampung New Zealand dan Melaka terkenal dengan Perkampungan Portugis, Johor juga tidak ketinggalan punya kampung yang mempunyai nama negara asing iaitu Kampung Parit Jerman di Pontian,” katanya.