X

Kindly register in order to view this article
!

Bahagiamu, deritaku?

A
A

PERNAHKAN anda mendengar peribahasa ayam tidur senang di dalam reban, musang yang susah beredar sekeliling? Peribahasa ini membawa maksud seseorang yang sakit mata dan hati melihat orang lain senang atau bahagia.

Senang atau bahagia membawa maksud yang pelbagai sama ada dari segi kebendaan, kenaikan pangkat, hubungan harmoni atau lain-lain situasi yang membawa kegembiraan dalam kehidupan.

Maksud peribahasa ini telah menarik minat penulis dalam kolum minggu ini untuk dikaitkan dengan situasi yang berlaku dalam organisasi berhubung sesetengah pihak yang tidak senang melihat individu lain iaitu sama ada pekerja sokongan atau pegawai mereka gembira kerana menikmati keseronokan bekerja, kenaikan pangkat dan seumpamanya.

Hakikatnya, syarat dan prosedur baharu dalam kenaikan pangkat atau gaji itu bukanlah tidak baik dan pastinya perubahan perlu dilakukan selari dengan perubahan persekitaran, akan tetapi yang menjadi kebimbangan ramai adalah apabila perubahan itu terlalu kerap berlaku.

Belum lagi sempat para pekerja menghadam prosedur lama, pihak atasan sudah berura-ura memperkenalkan prosedur baharu... Jika cadangan baharu itu lebih fleksibel tidak mengapa, tetapi jika ia sebaliknya pasti lebih menyukarkan.

Impaknya, pengenalan polisi dan prosedur pelbagai secara berterusan dan kerap oleh pihak atasan dengan alasan menambah baik kualiti ditafsirkan sebagai menyusahkan, menyekat atau sengaja mengalih ‘tiang gol’ oleh individu yang berasa teraniaya.

Pada hemat penulis, sesuatu perubahan atau idea baharu tidak salah diperkenalkan apabila pembuat dasar mempunyai matlamat dan hasil yang jelas. Matlamat dan hasil yang jelas perlu mengikut acuan sendiri dan bukannya menggunakan acuan orang lain.

Kajian bidang pengurusan dan kelakuan organisasi menunjukkan bahawa perubahan yang kerap dilakukan dalam organisasi menggambarkan ia dilakukan berpandu kepada perubahan persekitaran.

Organisasi sebegini lebih mengambil sikap tunggu dan lihat. Sepatutnya perubahan syarat dan prosedur perlu selari dengan keupayaan dan kebolehan individu dalam organisasi semasa dengan disokong oleh persekitaran kerja sedia ada.

Fenomena di atas yang biasa berlaku dalam mana-mana organisasi boleh digambarkan dalam beberapa situasi yang mungkin dianggap biasa dan perlu bagi sesetengah pihak, namun ia sebenarnya adalah sesuatu yang memedihkan.

Situasi pertama adalah yang mana syarat dan prosedur baharu diperkenalkan kepada pekerja baharu yang menyertai organisasi. Ini termasuklah isu pengesahan jawatan, diskripsi tugas dan laluan kerjaya baharu.

Biasanya, apabila pengenalan sesuatu polisi baharu berlaku, ia turut memberi kesan kepada pekerja lama. Mereka yang pada awalnya bersemangat waja mengembangkan kerjaya, akhirnya kecundang dan kendur semangat dalam membina kerjaya dan bakat mereka. Keadaan akan bertambah buruk apabila pekerja baharu menelan bulat-bulat nasihat dan pandangan negatif daripada pekerja lama.

Situasi kedua pula ialah kenaikan pangkat yang bertujuan mengiktiraf dan memberikan penghargaan atas kecemerlangan seseorang individu. Perubahan syarat dan prosedur kenaikan pangkat yang awalnya bertujuan meningkatkan kualiti pekerja telah disalah tafsir sebagai menyusahkan oleh sesetengah individu.

Contoh situasi ketiga yang paling dekat dan mudah untuk difahami ialah penilaian prestasi. Sesetengah penilai berasa terancam jika dia memberikan markah penilaian yang tinggi kepada individu cemerlang.

Ada kalanya, kesukaran memberikan markah yang baik adalah disebabkan isu perhubungan sesama individu. Pengalaman buruk masa lampau juga boleh menyebabkan isu ini berlaku.

Penulis akui bahawa idea dan perubahan itu bagus, namun organisasi perlu memikirkan matlamat dan hasil yang akan dicapai serta menghilangkan ‘agenda tersembunyi’ seperti situasi yang dinyatakan di atas.

Hiduplah seperti lilin menerangi persekitaran, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.

*Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!