Mahu kekal penyumbang utama pendapatan eksport negara

Temubual media bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok sempena Setahun PH di Kementerian Industri Utama di sini kelmarin. - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
Temubual media bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok sempena Setahun PH di Kementerian Industri Utama di sini kelmarin. - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelbagai pembaharuan dilaksanakan Kementerian Industri Utama dalam memastikan keseluruhan rantaian nilai dari peringkat huluan hingga hiliran komoditi negara kekal sebagai sektor penyumbang utama kepada pendapatan eksport negara.

Menterinya, Teresa Kok berkata, sejak tahun lepas kementeriannya telah meletakkan penekanan baharu dan utama kepada kelestarian industri sawit.

“Kita telah melipatgandakan usaha untuk memastikan setiap rantaian nilai dalam industri mencapai pensijilan mandatori Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) menjelang 1 Januari 2020.

“Walaupun ini adalah satu cabaran besar, kita meneruskan usaha dengan mengadakan siri Jelajah MSPO di kawasan bandar, luar bandar dan daerah untuk melibatkan para pekebun kecil, pihak industri dan kilang-kilang menerusi program kesedaran awam dan latihan ini MSPO,” katanya pada sidang media sempena Setahun PH di Kementerian Industri Utama di sini kelmarin.

Jelasnya, kementerian itu juga telah mengambil suatu inisiatif kepimpinan untuk mengubah imej industri sawit daripada aktiviti yang dituduh sebagai penyebab pemusnahan alam sekitar menerusi pelaksanaan aktiviti-aktiviti pemuliharaan hutan dan binatang liar.

“Kita mengakui ada perkara yang tidak betul mungkin telah berlaku di masa yang lampau tetapi kini kita akan terus berusaha memastikan industri sawit berkembang secara mampan dan ini penting untuk menangkis tuduhan-tuduhan terhadap industri sawit.

“Kita melancarkan Projek Penanaman Satu Juta Pokok bagi kawasan tanah terosot di Sabah pada 30 Mac lalu dan usaha ini adalah satu tanggungjawab sosial syarikat-syarikat sawit khususnya dan Malaysia amnya bagi mengekalkan 50 peratus kawasan hutan di Malaysia demi untuk kesejahteraan sejagat,” katanya.

Justeru, dalam memastikan usaha tersebut memberi impak yang besar, kementerian turut menganjurkan kempen Sayangi Sawit Malaysia Peringkat Nasional sepanjang tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

“Objektifnya adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan industri sawit kepada sosio-ekonomi negara, kegunaan minyak sawit yang pelbagai serta kebaikan dan khasiat minyak sawit.

“Kita percaya usaha untuk menolak kempen antisawit hanya akan berjaya sekiranya rakyat percaya dan menghargai minyak sawit Malaysia,” katanya.

Menurutnya, dalam mendepani kempen antisawit, pihaknya turut berjaya mendapatkan kerjasama daripada ahli-ahli jemaah menteri untuk menangani kempen antisawit terutama yang datang dari Kesatuan Eropah (EU).

“Dalam soal ini, ia bukan hanya terhad kepada bidang kuasa Menteri Industri Utama sahaja kerana ia sudah melibatkan isu global. Kepimpinan negara dan seluruh rakyat Malaysia perlu mempertahankan dan membanteras gerakan kempen antisawit oleh negara-negara maju khususnya dari EU.

“Saya berterima kasih kepada jemaah menteri yang mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat atau menghadiri mesyuarat di peringkat antarabangsa kerana sentiasa membangkitkan isu berkaitan diskriminasi ke atas industri sawit negara, dan pada masa yang sama turut membetulkan tanggapan salah serta negatif terhadap produk sawit dan Malaysia,” jelasnya.

Katanya, di bawah program Biodiesel dan Biojet pula, kementerian telah melaksanakan satu pendekatan inovatif dengan peningkatan penggunaan biodiesel sawit mesra alam melalui Program B10 bagi sektor pengangkutan bermula 1 Februari lalu dan Program B7 diperkenalkan bagi sektor industri bermula 1 Julai ini.

“Rancangan peningkatan biodiesel ini sebenarnya telah ditangguh sejak tahun 2016 tetapi sejurus kerajaan PH mengambil alih pentadbiran, kita telah memastikan ia dilaksanakan dengan segera demi menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan juga meningkatkan penggunaan minyak sawit negara.

“Kedua-dua program ini dijangka akan menggunakan sebanyak 761,000 tan minyak sawit setahun malah kementerian sedang membuat persiapan untuk melaksanakan program B20/B30 seawal tahun 2020 dan satu sesi kerjasama dengan pihak berkepentingan industri dan Kementerian seperti MITI dan MOT sedang giat dijalankan,” katanya.

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak