Pesisir Payang destinasi pelancongan baharu

Tuan Muazizan (kiri) bersama suami dan anak-anaknya kali pertama berkunjung ke Pesisir Payang dan mengambil peluang merakam gambar berlatar belakang jambatan angkat Kuala Terengganu.
Tuan Muazizan (kiri) bersama suami dan anak-anaknya kali pertama berkunjung ke Pesisir Payang dan mengambil peluang merakam gambar berlatar belakang jambatan angkat Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kawasan rekreasi Pesisir Payang yang kini dibuka kepada pengunjung meriah terutama pada hujung minggu.

Kedudukannya di tepi Sungai Terengganu menjadikan kawasan tambakan itu memiliki daya tarikan tersendiri.

Selain panorama yang indah, pelbagai kemudahan di situ menjadikan ia sebagai kawasan rekreasi yang sesuai dikunjungi seisi keluarga untuk berehat sambil menghirup udara petang dalam suasana nyaman.

Bukan itu sahaja, lokasinya berhampiran jambatan angkat Kuala Terengganu (KT drawbridge) yang menghubungkan Muara Selatan Pusat Bandaraya dan Muara Utara Seberang Takir (Kuala Terengganu – Kuala Nerus) menjadi antara daya tarikan utama pengunjung ke situ.

Kawasan rekreasi Pesisir Payang bersebelahan KT Drawbridge menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu.
Kawasan rekreasi Pesisir Payang bersebelahan KT Drawbridge menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu.

Kos pembangunan telan belanja RM200 juta

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, pembangunan kawasan Pesisir Payang yang kini siap sepenuhnya menelan belanja sebanyak RM200 juta.

Katanya, pembangunan di kawasan itu bertepatan dengan misi kerajaan negeri untuk meningkatkan kawasan tarikan pelancongan ke negeri ini seterusnya mencapai sasaran sebanyak 5 juta pelancong ke Terengganu.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun jambatan angkat mempunyai fungsi yang lain, dari sudut pelancongan, ia mercu tanda ‘luar biasa’ yang akan menjadi imej baharu kepada Terengganu mengatasi yang lain,” katanya.

Menurut Ariffin, dengan bangunan ikonik dan kawasan tumpuan pelancongan baharu, beliau percaya, sungai Terengganu akan menjadi tumpuan utama yang menjadi ‘pakej’ kepada pembangunan bandar raya Kuala Terengganu.

“Sekarang dah ramai yang berkunjung ke Pesisir Payang terutama pada sebelah petang untuk menikmati udara segar dan merakam kenangan bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Kawasan itu jadi lokasi tumpuan baharu. Saya yakin dengan siapnya Pasar Payang baharu berhampiran kawasan itu, ia akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi dan pelancongan di kawasan itu,” katanya.

Nur Jannah (kanan) mengabadikan gambar kenangan yang dirakam kakaknya, Nurul Syahida.
Nur Jannah (kanan) mengabadikan gambar kenangan yang dirakam kakaknya, Nurul Syahida.

Sementara itu pengunjung, Nur Jannah Mohamad Zakaria Yudin, 24, dari Kampung Paka, Dungun, berkata, ini kali pertama dia mengunjungi Pesisir Payang dan merakam gambar berlatar belakang drawbridge secara dekat.

“Sebelum ni tengok gambar melalui Facebook sahaja, hari ini (semalam) dapat datang untuk tengok sendiri keindahan kawasan ini.

“Memang kawasan ini sangat cantik dan menarik,” katanya yang berkunjung ke situ bersama kakaknya, Nurul Syahida Zakaria Yudin, 30.

Bandar suram kembali meriah

Bagi Nur Jannah, sebelum ini bandar Kuala Terengganu tidak mempunyai banyak tarikan untuk dikunjungi dan beriadah.

“Sebelum ni masa saya belajar Kolej Cosmopoint Kuala Terengganu, saya selalu ke Pantai Batu Buruk sahaja sebab tak ada kawasan lain yang nak pergi.

“Dengan adanya kawasan Pesisir Payang ni, saya rasa ia destinasi baharu yang ‘wajib’ dikunjungi,” katanya.

Jambatan angkat menjadi ikon baharu tumpuan pelancong di Kuala Terengganu.
Jambatan angkat menjadi ikon baharu tumpuan pelancong di Kuala Terengganu.

Seorang lagi pengunjung, Tuan Muazizan Tuan Mustafa, 35, dari Felda Chalok Barat Setiu, mengakui begitu teruja pertama kali menjejak kaki ke Pesisir Payang dan merakam gambar bersama keluarga berlatar belakang drawbridge.

“Sebelum ni saya dan anak-anak hanya tengok gambar melalui facebook sahaja. Bila datang dan lihat betul-betul, memang kawasan ini cantik sangat.

“Suami dan anak-anak pun gembira. Kalau boleh nak datang lagi ‘ambil angin’ di sini,” katanya yang berkunjung bersama suami, Amizan Mohd, 44 dan dua anak Tuan Adriana Qistina, 10 dan Tuan Mohd Irfan, 8.