'Kerajaan PH tunjuk prestasi positif'

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
A
A

SHAH ALAM - Prestasi kerajaan PH menjelang setahun pentadbirannya dilihat positif kerana berjaya mencapai apa yang direncanakan termasuk janji dalam manifesto mereka.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun tempoh setahun ini adalah tempoh pemulihan bagi mereka namun banyak perkara berjaya dicapai dan diselesaikan kerajaan baharu ini.

“Kita (rakyat) nampak seperti tidak ada prestasi tetapi realitinya mereka menunjukkan prestasi positif, cuma tidak dapat menunaikan segala janji dalam waktu singkat.

“Jika dilihat dari segi pembaharuan juga, ada undang-undang baharu dan isu-isu baharu telah diwujudkan.

“Janji dalam manifesto pula ada yang sudah ditunaikan dan ada yang masih dalam perancangan. Namun ia perlu dilihat secara berperingkat. Tidak boleh dalam masa setahun semua janji itu perlu dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, rakyat perlu rasional dalam menilai prestasi kerajaan baharu dengan barisan menteri yang juga baharu dalam menguruskan hal negara.

“Rakyat semua nak cepat tetapi rakyat perlu rasional sikit. Tidak boleh mengharapkan kerajaan melakukan semua itu dalam masa singkat.

“Terdapat juga janji kerajaan PH telah ditunaikan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) diubah kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Selepas itu program E-Kasih yang diberi juga kepada orang miskin dan kerajaan baharu ini juga banyak perkenalkan benda baharu yang bermanfaat kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai sentimen rakyat terhadap kerajaan PH terutama pada keputusan PRK terkini, beliau berkata, ia tidak boleh diukur berdasarkan sentimen keseluruhan rakyat.

“Namun saya akui memasuki tahun kedua dan ketiga pentadbiran kerajaan PH adalah tempoh kritikal bagi mereka.

“Mereka perlu segera dalam proses pemulihan dalam masa sama melakukan pembaharuan. Jika tidak berlaku (pemulihan dan pembaharuan) mereka akan mengalami masalah,” katanya.