Biasiswa khas wartawan tempatan lanjut pengajian

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik beramah mesra bersama pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2018 (HKM 2018) sempena Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2019 di sini malam ini. - Foto Sinar Harian/Zahid Izzani
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik beramah mesra bersama pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2018 (HKM 2018) sempena Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2019 di sini malam ini. - Foto Sinar Harian/Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan biasiswa khas bagi wartawan di negara ini yang berhasrat melanjutkan pengajian di universiti awam.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ia bagi menghargai sumbangan dan peranan golongan wartawan dalam membentuk Malaysia Baharu di bawah pimpinan PH.

“Perincian mengenai biasiswa berkenaan akan diumumkan dalam waktu terdekat,” katanya dalam ucapan pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2019 untuk merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2018 (HKM 2018) di sini, malam ini.

Turut hadir Pengerusi MWM 2019, Datuk Chamil Wariya serta peneraju organisasi media termasuk Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Selain itu, beliau berkata, KPM turut bekerjasama dengan Al Jazeera yang bersetuju menawarkan khidmat latihan dan bimbingan khusus kepada mereka yang ingin mengasah bakat kewartawanan.

Persetujuan itu dibuat susulan pertemuan Maszlee dengan wakil media antarabangsa itu di Doha, Qatar baru-baru ini. Menurut Maszlee, ketika ini dua universiti awam iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah memberi respons positif untuk bekerjasama dengan Al Jazeera bagi tujuan itu.

“Hasrat saya ialah untuk melihat wartawan kita bukan sahaja bekerja di Malaysia semata-mata kerana saya yakin bahawa rakyat Malaysia berpotensi dan ramai wartawan mampu pergi lebih jauh.

“Saya nampak satu hari nanti mungkin setengah dekad hadapan, wartawan Al Jazeera, BBC, CNN, New York Times, Wall Street Journal ada terdiri daripada kalangan rakyat Malaysia. Ini dapat dicapai sekiranya kita punyai rangkaian yang tepat dan pendedahan dan saya yakin rakyat kita boleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyedari peranan penting media, Maszlee berkata kerajaan komited mengukuhkan lagi kebebasan media di negara ini dengan menyemak semula undang-undang yang dianggap mengongkong dan mengekang kebebasan media.

Malah, katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang dalam proses menjayakan penubuhan Majlis Media Malaysia yang akan bertindak sebagai badan kawal selia kendiri media. - Bernama