FGV jalin MoU bersama Jabatan Veterinar

Bakri dan Quaza (kanan) berbual dengan penternak pada Hari Veterinar Sedunia 2019 hari ini.
Bakri dan Quaza (kanan) berbual dengan penternak pada Hari Veterinar Sedunia 2019 hari ini.
A
A
A

NILAI - [DIKEMASKINI] FGV Holdings Berhad (FGV) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi meneroka potensi kerjasama membangunkan makanan haiwan berasaskan Hampas Isirung Sawit (PKC).

Program atas kerjasama bersama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) ini penting untuk industri ruminan dengan berkongsi pengalaman dan kepakaran yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kerjasama ini adalah sebahagian daripada perancangan strategik untuk menembusi dan memperluaskan penawaran produk 'sisa kepada pendapatan' dalam pasaran baharu.

Katanya, FGV adalah pengeluar terbesar PKC dengan menghasilkan 380,000 matrik setiap tahun dan 97 peratus daripada hasil itu adalah untuk pasaran eksport.

"PKC digunakan sebagai bahan asas untuk membuat makanan haiwan ruminan seperti lembu dan kambing.

"Melalui kerjasama ini kita boleh menawarkan produk makanan haiwan premium pada harga yang kompetitif dan membantu penternak untuk mengurangkan kos makanan haiwan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Penyerahan MoU FGV Holding Berhad dan DVS pada Majlis Sambutan Hari Veterinar Sedunia 2019 dan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dataran Nilai hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Exco Pertanian dan Asas Tani negeri, Bakri Sawir.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, PKC adalah produk sampingan selepas isirung sawit diproses dan boleh digunakan sebagai bahan mentah alternatif untuk bahan makanan haiwan.

Selain daripada itu, FGV juga ingin mengatasi jurang kebergantungan dalam bekalan susu dan daging negara, dengan memanfaatkan kelebihan R&D dan hiliran, yang mana dapat mencapai impak besar dalam masa tiga tahun.

Dalam pada itu, Haris berkata, Malaysia mengimport empat juta matrik makanan haiwan pada tahun 2017 dengan nilai RM7 bilion dan melalui kerjasama ini membantu mengurangkan kebergantungan industri pertanian Malaysia dalam sumber luar makanan haiwan.

"Kerjasama ini akan melengkapkan pelan MoA untuk memastikan kestabilan bekalan makanan haiwan dan harga makanan negara dengan menekankan kepada ruminan dan pelaburan sektor swasta dalam bidang pertanian," katanya.