Enam kampung orang asli bakal terima air terawat

 Rose (kiri) dan Salim
Rose (kiri) dan Salim
A
A
A

IPOH - Masyarakat orang asli dari enam kampung di daerah Batang Padang bakal menerima bekalan air terawat hasil pemasangan sistem rawatan air lapangan SafeWhere sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) di kawasan berkenaan.

Tok Batin Kampung Batu 16 Jalan Pahang-Tapah, Rose a/l Bah Ranvih 49 berkata, pihaknya gembira kerana setelah menunggu sekian lama akhirnya masyarakat orang asli di situ akan dapat menikmati bekalan bersih bagi kegunaan harian.

Malah menurutnya, bekalan air berkenaan dilihat akan memberikan banyak kemudahan kepada masyarakat orang asli di kawasan berkenaan yang selama ini menggunakan air dari kawasan pergunungan di situ.

“Selama ini kita guna air dari gunung dekat sini. Air gunung ini bersih tetapi kita tak tahu sejauh mana kebersihannya kerana kita berkongsi dengan haiwan lain.

“Tetapi setakat ini tidak ada masalah kesihatan yang berlaku. Lagipun sejak 1980, kami di sini dijaga oleh jabatan kesihatan. Mereka selalu datang tengok kami di sini,” katanya.

Rose berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) dan Imam Response and Relief Team (IMARET) di Hotel Impiana, hari ini.

Difahamkan, pembinaan 10 unit sistem rawatan air berkuasa solar yang melibatkan dana keseluruhan sekitar RM1 juta (termasuk kos penyelenggaraan bagi tempoh 10 tahun serta empangan mini) itu dijangka siap Ogos depan.

Pemasangan unit SafeWhere itu bakal melibatkan Kampung Orang Asli Batu 14 sebanyak dua unit, Kampung Orang Asli Batu 15 (seunit), Kampung Orang Asli Batu 16 (dua unit), Kampung Orang Asli Sekam Bawah Batu 17 (dua unit beserta empangan mini), Kampung Orang Asli Landing Zone Batu 17 (seunit) dan Kampung Orang Asli Batu 19 (dua unit).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu bagi Tok Batin Batu 14, Salim a/l Bah Badan, 60, pemasangan SafeWhere itu secara keseluruhannya pasti menggembirakan masyarakat kampung berkenaan yang kini menggunakan air tercemar.

Katanya, air yang digunakan didapati terus dari sungai dan kebiasaannya air yang digunakan dalam keadaan keruh.

“Akhirnya kami dapat menikmati air terawat ini. Terima kasih, sebab selama ini kami minum air yang tak bersih. Air yang tercemar.

“Tapi kami akan masak dahulu air itu sebelum minum. Jadi tak ada lagi kes orang kampung sakit perut atau sebagainya,” katanya.