PBS umum MP dua penggal calon PRK Sandakan

Linda Tsen Thau Lin
A
A

SANDAKAN - Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengumumkan bahawa Naib Presiden parti dan Ahli Parlimen untuk dua penggal, Datuk Linda Tsen Thau Lin sebagai calonnya bagi pilihan raya Parlimen Sandakan.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang membuat pengumuman itu berkata, bekas Ahli Parlimen Batu Sapi berusia 63 tahun itu mempunyai rekod prestasi yang baik.

Ongkili berkata parti itu akan terus memperjuangkan isu-isu penting, khususnya Perjanjian Malaysia 1963, isu keselamatan dan pembangunan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Beliau juga berkata PBS mendapat sokongan parti-parti politik lain, seperti Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Umno dan MCA pada pilihan raya kecil itu.

Thau Lin dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada pilihan raya kecil pada 2010 berikutan kematian Ahli Parlimen berkenaan, Datuk Edmund Chong Ket Wah, suaminya.

Sementara itu DAP mengumumkan Vivian Wong Shir Yee, 30, sebagai calonnya untuk pilihan raya kecil Sandakan yang didakan berikutan kematian Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga bapa Shir Yee pada 28 Mac lepas. - Bernama