JKM kesan waris lima kanak-kanak

JKM Wilayah Persekutuan sedang mengesan waris lima kanak-kanak, (dari atas kiri) Sofea Lai, Adam Lai, Mohd Hafiz, Mohd Abbas dan Sabrina Loh
JKM Wilayah Persekutuan sedang mengesan waris lima kanak-kanak, (dari atas kiri) Sofea Lai, Adam Lai, Mohd Hafiz, Mohd Abbas dan Sabrina Loh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan sedang mengesan waris lima kanak-kanak bagi melengkapkan proses penempatan dan sijil kelahiran yang tergendala sehingga kini.

Timbalan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Liah Pariuk berkata, waris pertama yang sedang dicari oleh JKM adalah melibatkan dua beradik berusia 11 dan 5 tahun.

Beliau berkata, kedua-dua beradik tersebut, Mohd Abbas Daud Khan dan Mohd Hafiz Daud Khan telah diselamatkan pada Julai 2017 lalu selepas mereka dilaporkan hidup bergelandangan bersama ibunya di hadapan Hotel Sani.

"Buat masa ini, dua kanak-kanak terbabit ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar dan pelindung sedang giat mengesan ibu kandung atau waris yang mengenali mereka bagi membantu mahkamah membuat keputusan terbaik berhubung penempatan dan serta kebajikan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Liah berkata, pihaknya juga sedang giat mengesan waris kepada dua beradik yang ditinggalkan oleh ibu dan bapa kandung mereka tanpa sebarang dokumen.

Liah berkata, dua beradik berkenaan, Sofea Lai Jing Yee, 6, dan Adam Lai Zhi Jian, setahun, dikatakan telah diserahkan kepada orang yang layak sebelum ini tanpa sebarang dokumen.

"JKM kini sedang mengesan ibu dan bapa dua beradik berkenaan yang dikenali sebagai Lai Choon Huat dan Chanitra Chuaikum.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kedua kes ini boleh berhubung dengan pelindung kes, Noor Afdzan Mohd Sahandri Gani di talian 03-26124000 (sambungan 4119) atau hadir sendiri ke JKM Wilayah Persekutuan di Tingkat 9, Bangunan Grand Season Avenue,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes terakhir, Liah berkata JKM Wilayah Persekutuan juga sedang giat mengesan waris kepada seorang kanak-kanak berusia 8 tahun, Sabrina Loh Yan Peng.

Menurut Liah, kanak-kanak terbabit berada di bawah jagaan bapa saudaranya sebelum ini selepas ayah kandungnya, Loh Yoke Wah meninggal dunia pada awal Januari tahun ini.

"Ibu kanak-kanak ini dikenali sebagai Aswati dan merupakan warganegara Indonesia tidak dapat dikesan selepas bercerai dengan bapa kandungnya pada tahun 2015 lalu.

"Kes ini telah dibawa ke mahkamah pada 11 April lalu dan bapa saudaranya telah diberi perintah sementara untuk menjaga kanak-kanak ini sehingga siasatan lanjut dapat dijalankan.

"Sehubungan itu, JKM mengalu-alukan waris yang mempunyai maklumat ibu kandungnya untuk berhubung dengan pelindung kes, Ainie Haslinda a/p Tew Sea Kia di talian 03-2612400 (sambungan 4037) bagi menyalurkan sebarang informasi," katanya.