RM42 juta untuk pekebun kecil di Sabah: Menteri Kewangan

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM42 juta untuk bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil di Sabah.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu akan diberikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk Kerajaan Negeri Sabah menyelaras pembayaran bantuan RM600 kepada 70,000 pekebun kecil negeri tersebut.

Menurutnya, tambahan peruntukan itu dilakukan berikutan rayuan daripada pihak Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengenai takrifan pekebun kecil di Sabah yang seharusnya merangkumi pengusaha getah dengan keluasan kebun enam hektar dan ke bawah melibatkan lebih 70,000 pekebun getah.

“Setelah diteliti perkara ini, Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk meluluskan rayuan LIGS dan akan menyediakan peruntukan tambahan yang dianggarkan sebanyak RM42 juta kepada Ketua Menteri Sabah.

“Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membantu pekebun kecil Sabah yang sekarang berdepan dengan harga rendah getah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM200 sebulan untuk tiga bulan (November 2018, Disember 2018 dan Januari 2019) kepada pekebun kecil getah di seluruh Malaysia melalui Risda.

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM165 juta dan hampir 275,000 pekebun kecil, iaitu pengusaha getah dengan keluasan kebun 2.5 hektar dan ke bawah. Jumlah penerima tersebut termasuk 6,000 pekebun kecil yang berdaftar dengan Risda di Sabah.

Artikel Berkaitan: