Terima kasih kerajaan Terengganu

Lokasi tapak bazar Ramadan stesen teksi yang akan diuruskan oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu.
Lokasi tapak bazar Ramadan stesen teksi yang akan diuruskan oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Isu kadar sewa tapak bazar Ramadan di stesen teksi Tanjung atau dikenali sebagai 'Chow Kit Tanjung', di sini, selesai setelah wakil kontraktor yang mendapat tender sewa tapak bersetuju mengurangkan harga daripada RM4,000 kepada RM2,000.

Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu, Muhusin Mohamed berkata, persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat yang diadakan oleh kerajaan negeri bersama pihak kontraktor dan wakil persatuan peniaga, Isnin lalu.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak penender yang setuju berunding dan menyelami masalah peniaga sekiranya kadar sewa dikenakan RM4,000.

"Kadar sewa yang dikatakan ditetapkan sebanyak RM4,000 itu adalah harga maksimum atau kadar siling sewa tapak bazar Ramadan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk setiap kanopi.

"Sebelum ini, berlaku salah faham berhubung perkara ini. Masalah kadar sewa telah selesai dan pihak penender juga telah bersetuju menyerahkan sebahagian dari kawasan tapak ini untuk diuruskan oleh pihak persatuan," katanya ketika ditemui di lokasi tapak bazar, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Cawangan Persatuan Peniaga Kompleks Hentian Bas berkata, kawasan tapak bazar itu akan memuatkan sehingga 50 kanopi yang setiap satu bersaiz 20 kaki x 20 kaki.

"Kita anggarkan seramai 200 peniaga yang akan menjalankan perniagaan pakaian, kuih raya, dan barangan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri.

"Sebagaimana ditetapkan, perniagaan akan dijalankan dalam tempoh 29 hari Ramadan dan akan beroperasi selama 24 jam sehari bergantung pada peniaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kadar sewa ditetapkan sebelum ini, katanya, sewa dikenakan sebanyak RM1,440 bagi satu kanopi yang menempatkan empat lot niaga bersamaan RM360 bagi setiap satu lot tapak niaga, dengan tempoh niaga selama 15 hari.

"Kalau ikutkan luahan peniaga memang tak mahu 29 hari, mereka nak 15 hari sebab jualan meningkat dalam tempoh 15 hari sebelum Aidilfitri.

"Tetapi, ia dah ditetapkan dalam sebut harga dan kebanyakan peniaga tidak boleh menolak," katanya.

Sebanyak lima tapak bazar di dataran Shah Bandar, antaranya tapak bazar Ramadan perahu besar dan tapak bazar Ramadan skrin besar yang beroperasi untuk jualan juadah berbuka puasa serta bazar ramadan Dataran Shahbandar dan bazar Ramadan Marquetent.