Sokongan terhadap PM, kerajaan PH merosot

Pentadbiran PH memasuki usia setahun pentadbiran 9 Mei ini. - Foto Sinar Harian/Sharifudin Abdul Rahim
Pentadbiran PH memasuki usia setahun pentadbiran 9 Mei ini. - Foto Sinar Harian/Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

BANGI - Kadar sokongan terhadap kerajaan PH merosot sebanyak 39 peratus berbanding 79 peratus pada 31 Mei 2018 berdasarkan kajian yang dijalankan di seluruh negara pada 5 hingga 11 Mac lalu.

Menurut kajian Merdeka Center, jumlah pengundi yang berpuas hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga didapati menurun daripada 71 peratus pada Ogos 2018, jatuh kepada cuma 46 peratus sahaja.

"Kemerosotan terhadap sokongan awam terhadap pentadbiran kerajaan dapat dilihat apabila pengundi yang berasa negara menuju ke arah yang salah telah meningkat sebanyak 46 peratus pada Mac 2019 berbanding 24 peratus pada Ogos 2018," katanya.

Merdeka Center mengeluarkan kenyataan dan laporan mengenai kajian itu yang dimuat naik di laman sesawangnya hari ini.

Kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center itu melibatkan 1,204 pengundi berdaftar meliputi 52 peratus kaum Melayu, Cina (29 peratus), India (7 peratus), muslim Bumiputera (6 peratus) dan bukan muslim Bumiputera daripada Sabah dan Sarawak (6 peratus).

Metodologi kajian tersebut ialah temubual melalui telefon bimbit dan talian tetap, sementara responden dipilih secara rawak mengikut kumpulan usia, etnik, gender dan kawasan pilihan raya negeri.

Dalam pada itu, Merdeka Center menjelaskan, kemerosotan kadar sokongan itu disebabkan oleh tiga faktor iaitu keadaan ekonomi semasa, prestasi pentadbiran dan kebimbangan terhadap hak serta keistimewaan kaum Melayu termasuk layanan adil terhadap kaum lain di Malaysia.

"Keputusannya, tahap kepuasan orang ramai mengenai pengurusan kerajaan terhadap ekonomi telah jatuh daripada 60 peratus pada Ogos 2018 kepada 40 peratus pada Mac 2019," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kajian itu lagi, keadaan ekonomi kekal menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pengundi yang merekodkan sebanyak 63 peratus, diikuti kebimbangan terhadap isu berkaitan kaum.

Antara kebimbangan mengenai isu perkauman ialah kontroversi melibatkan insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ, Selangor dan tindakan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bagaimanapun, kajian turut mendapati terdapat 67 peratus pengundi bersetuju supaya pentadbiran kerajaan diberikan masa untuk menunaikan janji-janji yang dibuat pada pilihan raya yang lalu.

"Angka menunjukkan, majoriti 52 peratus kaum Melayu lebih kritikal terhadap pentadbiran kerajaan baharu," menurut dapatan kajian itu.

Mengenai dasar-dasar baharu yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan, Merdeka Center berkata, lebih banyak usaha perlu dibuat bagi memberi penerangan kepada rakyat bagi mendapat sokongan kerana ramai yang mahukan keadaan kekal tidak berubah.

Antara dasar tersebut ialah pemansuhan hukuman mati yang hanya mendapat persetujuan sebanyak 22 peratus daripada pengundi sementara 66 peratus lagi tidak bersetuju dan pelaksanaan cukai terhadap minuman bergula hanya dipersetujui oleh 40 peratus dan 55 peratus lagi tidak bersetuju.