Kedah-China bincang teknologi digital automotif

Mukhriz (tiga dari kiri) bersama pengurusan tertinggi Sany Group di Beijing.
Mukhriz (tiga dari kiri) bersama pengurusan tertinggi Sany Group di Beijing.
A
A
A

BEIJING - Kedah dan China membincangkan cadangan untuk membangunkan kilang trak pembinaan serta pemindahan teknologi digital berkaitan automotif.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Mohd Fisol Jaafar memaklumkan, aspek lain yang turut dibincangkan, termasuk cadangan menubuhkan Pusat Sistem Industri Pembinaan bagi pembinaan rumah mampu milik.

Menurutnya, turut dibincangkan bentuk kerjasama bersama Sany Group berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara syarikat dari China itu dengan agensi latihan kemahiran milik kerajaan negeri Kedah, KISMEC.

Tambahnya, kerjasama itu adalah untuk melatih tenaga kerja mahir dalam bidang automotif.

Perbincangan bersama pengurusan tertinggi kumpulan kejuruteraan dan pembinaan, Sany Group itu diketuai Exco Industri dan Pelaburan, Tan Kok Yew mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hari ini.

Kok Yew (empat dari kanan) dan delegasi Kedah mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Sany Group.
Kok Yew (empat dari kanan) dan delegasi Kedah mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Sany Group.

Mukhriz dan delegasi Kedah berada di Beijing sejak Rabu, dalam rangka lawatan kerja enam hari ke negara itu.

Mukhriz turut berkesempatan melawat ibu pejabat korporat Sany Construction Ltd, dan disambut Presiden kumpulan, Tang Xiuguo serta pengurusan tertinggi Sany Group.

Artikel Berkaitan:

Kedah yang berhasrat membangunkan beberapa projek berimpak tinggi, menawarkan peluang pelaburan dan pembinaan infrastruktur kepada syarikat-syarikat ternama China.

Terdahulu, Mukhriz turut menyertai delegasi Malaysia, diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis perasmian Forum ‘Belt and Road’ kali kedua, di Pusat Konvensyen Kebangsaan China.

Pada forum itu, Dr Mahathir menyampaikan ucaptama berhubung keperluan laluan ‘Belt and Road’ yang diusahakan China dibuka kepada semua pihak tanpa sekatan.